Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Setiap saat di dalam bulan ini mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah. Setiap amalan yang dilakukan akan beroleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Alangkah ruginya jika di dalam bulan yang penuh rahmat dan kemuliaan ini disia-siakan begitu sahaja. Malah di dalam bulan ini terdapat beberapa waktu khusus yang dimustajabkan doanya oleh Allah S.W.T.
Antara waktu yang khusus berdoa di dalam bulan ini ialah:
Pertama: Ketika sahur. Waktu ini adalah waktu yang terbaik untuk berdoa kerana Allah S.W.T. sedang turun ke langit dunia. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Rab kita turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam. Lantas Allah berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada Ku maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada Ku maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada Ku maka akan Aku ampuni” (HR Bukhari & Muslim)
Kedua: Sebelum masuk waktu berbuka. Waktu berbuka adalah waktu yang paling ditunggu dan waktu yang menggembirakan bagi orang yang berpuasa. Dalam waktu yang indah inilah Allah turunkan rahmat Nya dengan mendengar segala doa hamba Nya yang berpuasa. Sabda Baginda s.a.w.
“Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka” (HR Ibnu Majah)
Ketiga: Sepanjang hari ketika berpuasa. Bukan mudah sebenarnya untuk menahan diri dari makan dan minum pada siang hari terutama waktu panas terik ketika ini. Justeru dengan keikhlasan orang berjuang menahan dari makan minum dan nafsu syahwatnya maka Allah memakbulkan segala doa yang diminta. Sabda Baginda s.a.w.
“Ada 3 golongan yang doa mereka tidak ditolak iaitu orang yang berpuasa hingga ia berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi” (HR Tirmizi)
Keempat: ketika sedang sujud. Alangkah beruntungnya kita di dalam bulan Ramadan apabila dikurniakan ibadah solat sunat tarawih.
Jika di bulan selain Ramadan, solat fardu yang kita lakukan hanya dapat bersujud 34 kali sahaja. Sedangkan tambahan tarawih dan witir dalam 11 rakaat, sujud yang dilakukan bertambah 22 dengan jumlah keseluruhan 56 kali sujud. Besarnya rahmat Allah, sehari 56 kali Allah berada paling hampir dengan kita. Sabda Baginda s.a.w.
“Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan Nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud)” (HR Muslim & Nasaie)
Kelima: Malam lailatulqadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan ini sudah semestinya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Firman Allah surah al-Qadr: 4,
“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan”
Keenam: Antara azan dan iqamah. Sehari lima kali azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat fardu dan sebanyak itulah adanya waktu yang khusus diperkenankan doanya. Sabda Baginda s.a.w.
“Doa di antara waktu azan dan iqamah tidak tertolak” (HR Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad)
Ketujuh: Pada hari Jumaat. Penghulu segala hari adalah waktu yang istimewa, apatah lagi apabila ia berada di dalam bulan Ramadan. Sudah semestinya keistimewaan itu berganda-ganda. Dari Abu Hurairah r.a. Baginda s.a.w. menyebutkan tentang hari Jumaat kemudian beliau bersabda,
“Di dalamnya terdapat waktu. Jika seorang muslim berdoa di waktu itu pasti diberikan apa yang dia minta” Lalu beliau mengisyaratkan dengan tangannya tentang sebentarnya waktu tersebut” (HR Bukhari dan Muslim)
Kelapan: Sepertiga malam. Waktu ini adalah waktu terbaik bertahajud kepada Allah kerana Allah turun ke langit dunia. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Rab kita turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam. Lantas Allah berfirman, “Siapa Sahaja yang berdoa kepada Ku maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada Ku maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada Ku maka akan Aku ampuni” (HR Bukhari & Muslim)
Kesembilan: Waktu hujan turun. Sesuai dengan namanya Ramadan bermaksud panas, maka bulan Ramadan lazimnya suhu memang membahang kepanasan. Justeru apabila hujan turun dengan lebat pada bulan ini, jangan sia-siakan peluang yang ada kerana inilah antara waktu paling mustajab berdoa. Sabda Baginda s.a.w.
“Dua doa yang tidak akan ditolak. Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan” (HR al-Hakim)
Alangkah beruntungnya kita sebagai umat Islam yang dikurniakan dengan banyaknya waktu diperkenankan doa oleh Allah. Tinggal kita hendak berdoa atau tidak sahaja kerana waktunya telah punya dinyatakan secara jelas.
Apatah lagi Allah sendiri pun suka jika ada dikalangan hamba Nya yang memanjatkan doa meminta apa sahaja kepada Nya. Jadi dengan Ramadan yang masih tersisa beberapa hari lagi ini, ayuh kita sama-sama menadah tangan berdoalah kepada Allah. Mintalah apa juga yang dihajati. Insya Allah pasti akan diperkenankan doa kita. Wallahu a’lam
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

