Kali pertama saya melihat wanita seumpama itu ialah di Delhi, India. Ketika itu, lebih kurang pukul 11.00 malam, kereta kami sedang berhenti kerana jalan agak sesak. Dia mengetuk-ngetuk pintu kereta kami yang baru saja sampai ke negara tersebut, sambil menggendong bayi berusia lingkungan setahun. Wanita itu adalah pengemis.
Esoknya pun begitu. Ketika kereta kami merangkak-rangkak di tengah Delhi, ada saja perempuan berpakaian comot dan busuk datang menghampiri sambil menggendong bayinya yang selekeh.
Rambutnya kering dan berhingus pula. Wanita itu menyuapkan tangan ke mulutnya, kemudian ke mulut bayi berulang-ulang kali, tanda meminta duit atau makanan. Pemandangan serupa dapat dilihat di merata-rata tempat.

Sambil memandang pengemis tadi, saya tanyakan pada pemandu pelancong kami, Bashir Khan Rabudi. Soalan pertama saya: “Di India ini tidak adakah program perancangan keluarga?”
Jawab Bashir, “Adaaaa… Tapi dia orang tak peduli langsung! Kah kah kah!”
Saya bertanya lagi: “Habis tu, kalau dah tau miskin, tak ada rumah, tak makan, tak minum, tak mandi… kenapa beranak lagi? Lelaki mana pulak yang tergamak ‘mempriap’ perempuan tu?”
Bashir terus ketawa berdekah-dekah dan menjawab, “Dia orang tak kira makan ke tidak, mandi ke tidak, ‘benda tu’ tak boleh miss, kah kah kah! Anda faham maksud perkataan ‘benda tu’, kan?”

Tambah Bashir lagi yang membuatkan saya sakit perut ketawa, pengemis- pengemis yang bersepah ini, baik lelaki mahupun wanita, majoritinya tidak mempunyai rumah. Mereka tidur di bawah pokok, atas tanah, bawah jambatan, tepi bangunan dan di dalam bangunan terbengkalai.
Tapi lucunya, mereka akan ‘priap’ tak kira tempat. Asal gelap aja, bedal! Malah, pengemis-pengemis ini boleh buat ‘benda tu’ di kawasan yang terbuka seperti belakang pokok dan bawah jambatan.
“Mereka takkan berhenti walaupun kereta suluh dengan lampu. Kalau awak nak tengok pun boleh. Bawa lampu picit, suluh. Mereka tak kira, orang nampak pun, nampaklah. The show must go on! Yang penting, #$%$^&!!! Mereka cuma berhenti kalau kita datang bawa kamera video atau diarahkan oleh polis.”
Kah kah kah. Patutlah penduduk India sampai 1.2 bilion, sedangkan lebih 35 peratus penduduknya hidup miskin.
“Kan dia orang tu tak mandi. Busuk! Boleh bersin dibuatnya,” soal penulis lagi.
“Ahhhh… busuk ke, wangi ke, dia orang apa kira. Tambah pulak dalam keadaan *&^#$@# macam tu! Kah kah kah…”
Tambah Bashir, janganlah pelik dengan apa yang kita lihat di India sebab di negara itu, “Anything can happen… nothing’s impossible.” Malah, kehidupan yang pelik, lucu dan ngeri itulah yang menjadikan India negara yang sangat menghiburkan, jelas Bashir.

Betullah Bashir. Di India, kita boleh lihat macam-macam kerenah pelik, termasuklah bas yang berwarna-warni dengan muka yang mengerikan, orang kencing di tepi jalan, lembu parkir di tengah bandar dan naik motosikal sampai empat lima orang.
Malah suatu hari, ketika dalam perjalanan dari Agra ke Delhi, kami lihat sendiri ada sebuah lori tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Terus jam. Kami ingatkan kenapa, ceh… rupa-rupanya pemandu lori itu pergi beli air.
Satu lagi kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal melanggar bahagian belakang kenderaan kami yang sedang dalam perjalanan dari Gulmarg ke Srinagar, Kashmir. Kemiknya sikit, tapi mereka bertengkar macam nak berperang.
“#@#$%^&*(UY#$%^&*!!” pemandu kereta kami menengking.
“#$%^&*()_*&^#$#$,” pemuda yang menunggang motosikal itu menjawab.
Sekejap kemudian, datang lima enam orang masuk campur. Jangan tak percaya, pertelagahan ini berpindah-pindah lokasinya sampai tiga tempat dan memakan masa lebih dua jam! Riuh, semua orang mahu tumpang semangkuk.
Sampai satu ketika, saya lihat pemandu kami menengking sambil mengangkat tangannya seperti hendak melempang penunggang motosikal tersebut. Matanya terjegil, mukanya merah. Saya cakap, habislah. Tercabutlah gigi budak ni kena lempang. Tapi habuk… sampai sudah tak lempang. Bila dihulur duit, terus selesai. Kami yang menonton pertengkaran itu terus ketawa terbahak-bahak.
Tapi yang saya kagum, walaupun jalan raya di India kelam-kabut dan kenderaannya tak berdisiplin, tapi itulah satu-satunya kemalangan yang kami saksikan sepanjang lapan hari di sana!

Betul, India memang pelik, tapi menghiburkan. Mereka mempunyai budaya dan cara berfikir yang aneh. Mereka boleh lakukan perkara yang tidak masuk akal. Sebagai contoh, pernah tersiar berita tentang penduduk Kampung Badagabellur di Karnataka telah mengahwinkan ‘roh’ seorang lelaki dengan ‘roh’ seorang budak perempuan.
‘Pengantin lelaki’ itu bernama Yadav, seorang askar yang mati ketika menjalankan tugas di Rajasthan. Usianya 31 tahun. Pengantin perempuan pula bernama Vishalakshi, meninggal dunia ketika berusia 11 tahun. Perkahwinan itu dicadangkan oleh seorang nujum supaya kedua-duanya dapat hidup bahagia di alam yang satu lagi.
Mengikut kepercayaan masyarakat tersebut, roh orang yang mati sebelum sempat berkahwin akan terawang-awang di langit lalu menjadi hantu dan mengacau sanak- saudaranya. Selepas upacara perkahwinan, semua barang-barang hantaran akan disimpan selama setahun. Selepas itu, ia akan disedekah kepada golongan kasta yang lebih rendah.
Di Datvali, Uttar Pradesh pula, orang ramai akan beratur dengan berkaki ayam di sebuah kubur lama berusia 500 tahun. Mereka menunggu giliran untuk memukul kubur itu dengan kasut dan selipar, kerana percaya tindakan itu dapat mencegah diri daripada ditimpa malapetaka.
Kubur siapa yang mereka pukul itu? Kubur tersebut sebenarnya milik Bholu Sayeed, seorang pegawai istana yang suka memfitnah dan mengadu domba. Penduduk India membenci Bholu kerana lelaki itulah yang telah melaga-lagakan dua orang raja India dahulu hingga mereka berperang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
Pernah juga dilaporkan seorang wanita berusia 40 tahun telah dikelar-kelar dan disiat-siat kulitnya oleh jiran-jiran di Kampung Sikariatand, Jaharkand. Apakah kesalahannya? Dia dituduh mengamalkan ilmu sihir.
Anda jangan berasa pelik juga kalau saya beritahu, sekitar 200 orang wanita dibunuh di India setiap tahun kerana dituduh mengamalkan ilmu sihir. Kes paling banyak berlaku di Jaharkand, dengan 50-60 kes. Andra Pradesh kedua dengan purata 30 kes, diikuti oleh Haryana (25-30 kes) dan Orissa (24-28 kes).

Oh ya… jangan lupa, di India ada satu puak yang gemar memakan daging mayat yang dibuang di Sungai Gangga. Rupa mereka sangat menakutkan, kehidupan mereka pula sangat misteri. Nama puak itu, Aghori.
Selain budaya, perangai orang India pun pelik dan lucu. Semasa di sana, penulis terjumpa sebuah kedai yang menjual arak macam jual air tebu. Kedainya kecil saja, tapi pembelinya cukup ramai, macam ulat nangka. Mereka berasak-asak membeli air arak yang diisi dalam plastik dan botol. Kebanyakan pembeli itu ialah pengayuh beca dan pekerja buruh. Mereka miskin, tapi suka minum arak! Maaf, penulis tidak berani ambil gambar sebab takut kena belasah.
Dusyum… dusyumm…!! Akibat mabuklah, seorang guru di Orissa dilaporkan telah melucut pakaiannya lalu menari bogel di hadapan murid-murid serta kakitangan sebuah sekolah menengah di Kampung Katrabeda. Guru berkenaan, Ramachandra Nanda, kemudiannya ditangkap polis kerana berkelakuan lucah dan mencarut
Di bandar Surat, Gujarat pula lain ceritanya. Seorang lelaki yang mabuk todi, telah memakan bangkai seekor ular selepas dicabar oleh kawannya dengan bayaran seratus rupee. Bagaimanapun, baru makan separuh bangkai ular itu, lelaki berkenaan yang bernama Zaver, 35, telah mengalami sakit perut. Dia terus dikejarkan ke hospital, tetapi melarikan diri dua hari kemudian!
Ah, sebenarnya banyak lagi perkara pelik dan lucu di India. Jangan risau, anda juga berpeluang untuk menyaksikannya dengan mata kepala sendiri jika berkunjung ke sana.
**Kisah di atas adalah catatan pengalaman Zulkarnain Zakaria sewaktu mengunjungi India pada tahun 2010.

FAKTA INDIA
- India sebuah negara mengalami enam musim iaitu musim panas, luruh, sejuk, bunga, monsun panas dan monsun sejuk. India juga mempunyai ramai wanita tercantik di dunia sehingga pernah menjuarai enam kali gelaran Miss World dan tiga kali Miss Universe.

- India juga merupakan pengeluar filem terbesar di dunia. Filem-filem Bollywood yang berpusat di Mumbai yang bermaksud ‘Kota Impian’. Hampir kesemua filem Bollywood adalah sama sejak dulu sampai sekarang berbentuk drama muzikal yang diisi dengan aksi, lawak jenaka, saspens, disulami nyanyian dan air mata serta diakhiri dengan kebahagiaan. Jika anda ingin tahu huruf B pada awal perkataan ‘Bollywood’ diambil sempena nama bandar Bombay, nama asal Mumbai.
- India merupakan sebuah negara yang mengeluarkan akhbar harian kedua terbesar dari segi edarannya di dunia selepas China. Kira-kira 99 juta naskhah akhbar dijual sehari. Lebih 200 juta orang membaca akhbar setiap hari dan 19 daripada 100 akhbar terkemuka di dunia diterbitkan di India termasuk The Times of India.
- Tamadun India Kuno bermula di sekitar Sungai Indus (sekarang Pakistan) sekitar 3000 Sebelum Masihi. Kerajaan awal tamadun Lembah Indus ini lebih besar dan hebat daripada kerajaan lain, termasuklah tamadun Mesir dan Mesopotamia.
- India negara ketujuh terbesar di dunia memiliki keluasan sepertiga saiz Amerika Syarikat tetapi India memiliki penduduk paling padat di dunia dengan jumlah 1.4 bilion orang (2023).

- Bahasa Hindi dan bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di India tetapi turut mengiktiraf 17 dialek bahasa yang lain (Assam, Benggali, Gujarati, Nepal, Manipuri, Konkani, Kannada, Kashmir, Malayalam, Marathi, Oriya, Punjabi, Sanskrit, Sindhi, Tamil, Telugu dan Urdu. Kira-kira 1,652 dialek dituturkan di negara itu.
- Berlian ditemui pertama kali di kawasan Sungai Golconda, India lebih kurang 4,000 tahun lalu. Sejak 1896 hingga sekarang, India merupakan satu-satunya negara pengeluar berlian di dunia.
- Susharta dianggap sebagai bapa pembedahan India. Kira-kira 2,600 tahun lalu, Susharta bersama pasukan perubatannya telah melakukan pembedahan kaki palsu, katarak dan batu karang.
- Lebih daripada sejuta penduduk India adalah jutawan tetapi purata pendapatan penduduk India kurang dari dua dolar Amerika sehari. Dianggarkan 35 peratus penduduk India hidup di bawah paras kemiskinan.
- India adalah tempat asal bermulanya permainan catur. Makna ‘chess’ bahasa Sanskrit bermaksud ‘empat anggota pasukan’.
- Kain kapas pertama kali dipintal di India. Maharaja Rom menggelar kain kapas India sebagai ‘angin tenunan’ manakala Maharaja Mogul menggelarnya kain ‘embun pagi’ dan ‘kain air mengalir’.
- Bunga teratai adalalah bunga suci bagi penganut Buddha. Bahkan, kuil Baha’i yang dikenali sebagai ‘Lotus Temple’ di Delhi berbentuk seperti bunga Teratai dengan seni reka bentuk 27 kelopak besar bunga Teratai yang diperbuat daripada marmar.

- Buah kebangsaan India adalah buah mangga. Manakala burung rasmi negara pula ialah merak.
- Sungai memainkan peranan penting dalam budaya popular di India dan dari cerita-cerita rakyatnya. Sungai disembah sebagai Dewi kerana ia membawa air ke tanah kering. Mandi di Sungai Gangga dipercayai dapat menghapuskan dosa seseorang. Tetapi tidak digalakkan untuk menabur abu mayat seseorang yang dicintai ke dalam Sungai Gangga.
- Razia Sultana (1205-1240) adalah pemimpin wanita pertama di India. Beliau dianggap sebagai pemimpin besar walaupun hanya memerintah selama tiga tahun sebelum dibunuh.
- India merupakan pengeluar kacang kering terbesar di dunia seperti kacang merah dan kacang kuda. Selain kacang kering, India pengeksport pisang kedua terbesar di dunia selepas Brazil.

________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

