RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan tertentu kepada pembangunan Bumiputera semata-mata tetapi turut melibatkan semua kaum termasuk masyarakat India.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan menjelaskan, hal itu dapat dilihat menerusi penghasilan dokumen Malaysian Indian Blueprint (MIB) pada 2017, Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) pada 2022 dan Pelan Tindakan Hala Tuju MITRA pada 2024.
Kata beliau, pelan yang dihasilkan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) itu menyediakan hala tuju yang komprehensif bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat India berpendapatan rendah.
Ramanan berkata, ia melalui dasar dan program yang bertumpu kepada pendidikan dan latihan, peningkatan pendapatan, kebajikan dan kesejahteraan sosial serta penyertaan sosial dalam pembangunan arus perdana kerajaan.
“Dalam pembentangan RMK13, 2026-2030 pada 31 Julai lalu juga Perdana Menteri ada menyebut berhubung peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat India.
“Inisiatif dan strategi yang telah digariskan dalam meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat India antaranya adalah meningkatkan kapasiti dan keupayaan melalui pendidikan dan pembangunan bakat, termasuk Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang kerjaya.
“Selain itu, menambah baik infrastruktur asas, penyediaan bantuan baik pulih rumah serta akses kepada perumahan dan memperkukuh aktiviti ekonomi, keusahawanan serta pembangunan sosia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Jawapan Lisan Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas (2025) bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan sama ada kerajaan bercadang menggubal satu pelan pembangunan strategik 10 tahun yang menyeluruh untuk masyarakat India, dengan kerjasama sektor awam, swasta dan NGO, meliputi pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan pemerkasaan wanita.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, tumpuan turut diberikan menerusi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang direka secara holistik untuk menangani keperluan komuniti dalam tiga aspek penting iaitu pemerkasaan pendidikan, pembangunan keusahawanan dan kerjaya serta peningkatan kesejahteraan sosial.
Katanya, Kerajaan MADANI teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk masyarakat India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

