PROSEDUR bedah siasat 10 mayat anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak dijangka disiapkan lewat tengah hari esok.
Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Datuk Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid memaklumkan, proses bedah siasat kesemua 10 mayat itu telah pun dimulakan di hospital tersebut.
Menurut beliau, HRPB telah menerima 10 jenazah termasuk tiga wanita itu pada sekitar pukul 6 petang di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh.
“Insiden yang melibatkan 10 orang kakitangan TLDM itu disahkan terkorban di tempat kejadian.
“Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengah hari esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Megat Iskandar turut memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang bagi memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar.
Pada masa sama, beliau turut berharap semua pihak dapat menghormati privasi waris-waris mangsa yang terkorban.
Baca artikel lain: Sambutan ulang tahun TLDM batal, ganti majlis tahlil dan doa selamat
Terdahulu, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter milik TLDM bertembung sebelum terhempas semasa latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi tadi.
Nahas tersebut mengakibatkan 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut.
Dua helikopter yang terlibat itu merupakan model HOM dan Fennec berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi tadi.
Pesawat HOM itu terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala helikopter Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
TLDM juga akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut tersebut.
Mereka yang terkorban dari Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna.
Dari pesawat Fennec (M502-6) pula dikenal pasti Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

