Selepas menjalani pembedahan buat kali keempat dan hampir menemui jalan buntu, seekor anak kucing yang diberi nama Kassim Selamat selamat dibedah dan dalam kondisi stabil.
Menurut pemilik, Khairun Sofea Awang Mohd Faudzi, 33, dia mula menyedari buasir Kassim Selamat terkeluar pada hari ketiga anak kucing itu dalam jagaannya.
“Pada mulanya saya perasan bahagian ususnya basah dan hari ketiga tiba-tiba buasirnya keluar. Pada mulanya kami membawa Kassim Selamat ke klinik haiwan dan doktor menjalani rawatan purse string untuk kecilkan lubang najis supaya buasir tidak terkeluar.
“Namun selepas itu kondisinya masih tidak begitu baik kerana buasir akan terkeluar kembali. Doktor juga tidak memberi harapan dan katakan dia akan mati. Kami banyak berhabis lebih RM2000 untuk rawatannya namun tiada sebarang perubahan,” kongsi Sofea.

Jelas Sofea lagi, kekangan kos perubatan menyebabkan dia pada mulanya nekad untuk melakukan prosedur pembedahan sendiri di rumah.
“Sehinggakan saya terfikir untuk melakukan prosedur purse string sendiri di rumah kerana lebih jimat. Waktu itu saya tawakal dan berkongsi keadaannya di media sosial dan tidak sangka ramai pihak menghubungi saya untuk berikan nasihat dan bantuan. Sehinggalah saya mendapat mesej dari Dr Azliza Ahmad dari Klinik Veterinar Chinta Qaseh yang menawarkan bantuan untuk merawat Kassim Selamat.
“Alhamdulillah, Dr Azliza sanggup datang dari Seremban ke rumah saya di Kepong untuk mengambil sendiri Kassim Selamat untuk dirawat,” katanya menitipkan kesyukuran apabila kondisi si comel itu kian pulih selepas menjalani dua pembedahan iaitu Colopexy dan purse string.
Dalam pada itu, Dr Azliza turut menyatakan dia dan pasukan mengambil risiko demi menyelamatkan Kassim Selamat selepas melihat keletahnya yang cukup aktif.
“Selepas melihat perkongsian Sofea di media sosial, saya tergerak hati untuk menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk membantu. Dan saya melihat sinar harapan apabila buasirnya masih merah dan dia cukup aktif.
“Kebetulan beratnya mencukupi untuk menjalani prosedur pembedahan, jadi selepas mengambilnya di Kepong, kami membawa Kassim Selamat ke klinik dan terus melakukan pembedahan ke atasnya. Alhamdulillah kini dia semakin pulih dan stabil. Pada waktu itu, ususnya terkeluar dalam enam hingga lapan sentimeter.
“Kami lakukan dua pembedahan iaitu purse string iaitu mengecilkan lubang Najis supaya buasirnya tidak terkeluar kembali dan Colopexy di mana usus besar dijahit ke dinding abdomen,” kongsi Dr Azliza.
Mahu terus komited memberikan khidmat terbaik buat haiwan kesayangan, dia mahu menawarkan layanan kelas pertama pada harga berpatutan.
“Misi kami jelas, mahu berikan rawatan first class pada harga mampu milik. Kami juga menawarkan servis ke rumah untuk rawatan berkala, namun untuk sakit kronik atau prosedur pembedahan, semuanya perlu dilakukan di klinik,” tambahnya.

