PRK KKB: Khairul Azhari jawab dakwaan isu akademik, muat naik transkrip ‘Sarjana Eksekutif’

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SELEPAS membuat keputusan tidak mengulas kontroversi melibatkan kelayakan akademik ‘Sarjana Eksekutif’ yang tular di media sosial, calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut tampil memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook, Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu bertindak memuat naik transkrip dan sijil pengajian Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Advance yang diperoleh pada 29 September 2021.

Menurut Khairul Azhari, beliau sedar isu pendidikan itu yang dilalui di UMPSA Advance itu dibincangkan orang ramai.

Beliau berkata, tindakan tidak mahu mengulas lanjut isu tersebut bagi memberi tumpuan melalui tempoh kempen dengan penuh hikmah dan adil di samping menyantuni seberapa ramai pengundi yang bakal memilih pada 11 Mei depan.

“Saya mengerti serangan saraf yang ditujukan kepada peribadi saya adalah satu jangkaan yang perlu saya bersedia dan saya bertekad melaluinya dengan membawa kredibiliti dan keupayaan pasukan PN yang lebih besar agendanya.

“Namun, lanjutan ‘perbincangan’ mengenai latar belakang peribadi saya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas penjelasan Dr Ahmad Johari Mohammad (Pegawai Eksekutif UMPSA Advance) yang mengesahkan lanjutan pengajian saya yang sah, yang sepatutnya tak perlu diperjelaskan.

Baca artikel lain: PRK DUN Kuala Kubu Bharu saksikan pertandingan 4 penjuru

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas kenyataan yang tersiar di media yang saya sisipkan sekali dalam hantaran ini,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Khairul Azhari berkata, tindakannya memuat naik transkrip dan sijil pengajian adalah untuk menenangkan ‘kawan dan lawan’ yang begitu prihatin dengan isu yang berlegar itu.

Beliau menegaskan, fokus beliau dan PN adalah berhubung kos sara hidup rakyat yang semakin menekan.

“Maka, izinkan saya dan pasukan kami untuk meneruskan perjuangan PN dalam memenangi kerusi PRK DUN Kuala Kubu Bharu dengan lebih jitu kerana ini yang sangat diperlukan sekarang oleh rakyat.

“Apa-apa pun, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan perhatian para ‘kawan dan lawan’ terhadap latar belakang saya,” jelasnya.

Semalam, Khairul Azhari enggan mengulas dakwaan atau tanda tanya berkait latar pendidikannya susulan poster yang tular mengatakan beliau mempunyai Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, kemudian ‘melangkau’ dengan memperoleh Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang (UMPSA), dua tahun kemudiannya.

Bagaimanapun, Ahmad Johari mengesahkan Khairul Azhari memiliki Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA.

Ahmad Johari berkata, Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada majlis konvokesyen pada 2021.

PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Khairul Azhari bakal ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao serta dua lagi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainudin (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This