AKTRES sensasi, Ruhainies memilih untuk berdiam diri setelah didakwa menjadi dalang bersubahat bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz bagi menjatuhkan isteri pelakon terbabit iaitu Bella Astillah.
Menurut Ruhanies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, berkata dakwaan tersebut bukan datang darinya serta beranggapan jika menafikan isu tersebut orang ramai masih berpendirian untuk mempersoalkan dan menyalahkan dirinya.
Walau bagaimanapun, dia enggan untuk mengulas lanjut berhubung spekulasi ini dan merasakan perkara ini adalah diluar kawalannya.
“Itu adalah pendapat siapa? Bukan saya. Saya tak boleh nak cakap lebih. Kalau saya menidakkan, orang cakap memang saya buat.
“Benda itu diluar kawalan saya. Saya tak mahu tegakkan apa-apa lagi,” katanya.
Memetik laporan Mstar, Ruhainies berkata demikian ketika menghadiri ke majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh seorang pereka fesyen, Fiziwoo yang diadakan pada malam Isnin.
Sementara itu, Ruhainies turut memberitahu bahawa kini dia tidak lagi berhubung bersama pelakon Aliff kerana bimbang akan mengeruhkan lagi kontroversi yang tercetus.
Malah, dia juga berharap agar isu ini tidak terus dipanjangkan serta meminta orang ramai untuk ‘move on’ kerana telah memohon maaf dan ingin fokus pada perkembangan kariernya dalam industri hiburan.
“Tiada lagi hubungan dengan Aliff. Buat apa nak keruhkan lagi keadaan. Saya nak tutup buku.
“Saya pun dah minta maaf. Rasanya semua pihak boleh’move on’. Tiada keperluan untuk saya hubungi dia lagi.
“Fokus sekarang adalah karier. Apa yang boleh saya katakana saya tak mahu panjangkan lagi isu ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia turut menjelaskan tiada keperluan untuk menghubungi Bella setelah permohonon maaf kepadanya tidak diendahkan.
Baginya, dia percaya bahawa Bella sudah sedia maklum terhadap permohonan maaf yang dilakukan secara terbuka menerusi program Melodi sebelum ini.
Malah, berharap agar semua pihak untuk jalan terus daripada situasi kontroversi ini.
“Saya pun dah minta maaf. Rasanya semua pihak boleh ‘move on’. Tiada keperluan untuk saya hubungi dia lagi,” jelasnya.
Terdahulu, pelakon Ruhainies menjadi bualan ramai setelah dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada 9 Mac lalu.
Kontroversi ini, telah membuatkan isteri Aliff iaitu Bella Astillah kemudiannya memfailkan penceraian secara ekspres terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, namun pelakon tersebut enggan untuk menceraikannya pada sebutan kes pada 4 April lalu.
Walau bagaimanapun, isu itu tidak terhenti disitu apabila seorang wanita kelahiran Singapura yang mendakwa dirinya sebagai kekasih Aliff bernama Sarah Yasmine telah mendedahkan pelbagai tangkap layar berhubung perbualan Aliff bersama Ruhainies (NRF).
Perkara ini bertambah hangat apabila situasi ini turut dikaitkan dengan bintang selebriti tempatan seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah serta Meerqeen.
Namun begitu, Sarah menolak untuk bertemu bersama pelakon Ruhainies bagi menjernihkan situasi kerana bimbang tertipu dengan lakonannya itu.

