LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan perlawanan Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang sepatutnya berlangsung esok antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, dibatalkan.
Ia selepas skuad Selangor FC yang dikenali dengan jolokan ‘Gergasi Merah’ itu membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan itu.
Sehubungan itu, MFL dalam kenyataan memaklumkan, JDT diberikan tiga mata percuma untuk musim 2024/2025.
Jelasnya, skuad Harimau Selatan itu diberikan kemenangan walkover dengan jaringan 3-0.
Pada masa sama, MFL memberitahu, isu lain berhubung ketidakhadiran Selangor FC itu akan diputuskan selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL.
“Keputusan SFC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekali gus menyaksikan JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).
“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan itu.
Malam tadi, Selangor FC membuat keputusan drastik untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang JDT, esok.
Baca artikel lain: JDT kecewa, harap Selangor FC pertimbang semula keputusan
Keputusan tersebut diambil selepas permohonan kelab itu untuk menangguhkan perlawanan berkenaan atas faktor keselamatan ditolak MFL.
Selangor FC dalam kenyataan menegaskan isu keselamatan merupakan perkara utama berdasarkan kepada keadaan semasa yang tidak menentu.
Kelab itu memaklumkan keputusan itu diambil setelah penelitian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak.
Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat, cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekali gus menarik perhatian media luar negara termasuk di Eropah.
Pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad lalu selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.
Insiden itu adalah kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.
Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

