Selamat tunaikan haji, banyak bersabar di tanah suci

Dari Penulis

 SERAMAI 283 jemaah haji dari Kedah dan Kelantan yang merupakan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah, hari ini selepas menempuh perjalanan hampir 9 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 Mereka merupakan antara 31, 600 insan bertuah yang akan menjadi tetamu Allah SWT bagi musim haji kali ini. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi di mana terdapatnya makam  manusia paling mulia iaitu Rasulullah SAW maka  bermulalah kehidupan jemaah haji kita di tanah asing yang mungkin ada antara mereka tidak pernah sampaipun di situ.

Selama 45 hari, kesemua jemaah haji Malaysia akan berada di kota suci Mekah dan Madinah. Mereka akan melaksanakan rukun Islam kelima itu bersama lebih 2 juta umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Firman Allah SWT dalam surat Al-Hajj ayat 27 bermaksud:

‘Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Sepanjang berada di sana, jemaah haji Malaysia akan menyaksikan dan mengalami suasana berbeza.  Mereka datang dari latar belakang berbeza, ada yang datang dari desa dan ada yang datang dari kota, ada yang tua, ada yang muda, ada yang kaya raya, ada yang sederhana, ada yang berjawatan tinggi, ada yang bekerja kampung sahaja TETAPI apabila sudah berada di tanah suci Mekah atau Madinah, mereka adalah sama, kain ihram yang membaluti tubuh adalah saksinya!

 Oleh itu tinggalkanlah segala pangkat dan jawatan, pinggirkanlah kedudukan dan gelaran, lupakan soal dunia seketika, usah diingat anak cucu di rumah, usah dibimbangi ayam itik di kampung atau usah difikir urusan kerja yang ditinggalkan, jadilah hamba Allah yang benar-benar hadir ke bumi suci tersebut untuk menjadi tetamu-Nya. Dalam mencapai hasrat dan impian itu, jemaah haji Malaysia perlu diperingatkan beberapa perkara untuk dijadikan panduan dan pegangan.

*RAKAN SEBILIK ADALAH SAUDARA TERDEKAT

Tabung Haji telah mengatur sebaik-baiknya penempatan para jemaah di maktab-maktab sama ada di Mekah atau Madinah. Boleh dikatakan majoritinya hanya mengetahui siapa rakan sebilik ketika mendaftar masuk. Justeru mereka harus menerima seadanya siapa sahaja yang menjadi rakan sebilik. 

 Jika ada masalah selesaikanlah dengan cara yang baik dan atas semangat silaturahim. Jangan bermasam muka atau tidak bertegur sapa. Perlu diingatkan siapapun rakan sebilik kita, itulah saudara terdekat kita.

 Penulis pernah melihat bagaimana ada jemaah haji sanggup tidak pulang ke bilik dan tidur di Masjidilharam beberapa hari kerana tidak berpuashati dengan rakan sebilik. Banyak bertolak ansur kerana di tanah suci KESABARAN ADALAH PENTING…janganlah kerana berdengkur kuat pun dijadikan isu.

*JAGA KEBERSIHAN 

 Kebersihan harus ditiitik beratkan. Selain memastikan bilik dan maktab mereka sentiasa bersih, jemaah haji juga jangan membuang sampah merata-rata termasuk ketika di Mina dan Arafah. Bilik maktab harus sentiasa kemas dan bilik air perlu dipastikan bersih.

 Kadang kala hanya kerana ada jemaah yang tidak menjaga kebersihan bilik air, ia menyebabkan berlaku perselisihan. Sekali lagi kesabaran adalah penting.

*JANGAN ADA KUMPULAN ‘PAK HAJI BERASAP’

-Ini adalah `penyakit’ segelintir jemaah haji Malaysia. Saban tahun kita boleh melihat kelompok ‘pak haji berasap’ ini berkumpul di hadapan hotel untuk merokok. Ada antaranya membuang puntung rokok merata-rata sehingga mengotorkan kawasan sekitar.

*SOLAT DI MASJID BUKAN DI MAKTAB/HOTEL

 Setiap hotel atau maktab jemaah haji Malaysia disediakan surau tetapi kemudahan itu hanyalah untuk mereka yang uzur. Jemaah yang tiada apa-apa halangan kesihatan, rajin-rajinlah berjalan ke masjid maksudnya Masjidilharam atau Masjid Nabawi, janganlah asyik nak bersolat di surau maktab atau paling buruk di dalam bilik penginapan.

 Kesempatan yang ada di dua tanah suci harus digunakan sebaik-baiknya untuk beribadah kepada Allah SWT. Rebutlah peluang bersolat sebanyak mungkin di kedua-dua masjid suci itu.

Rasulullah SAW bersabda : 

“Satu solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu solat di Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 solat di masjid-masjid yang lain.”

*PENUHI MASA DENGAN BERIBADAH BUKAN BERBUAL-BUAL KOSONG

Selama 45 hari, 31,600  jemaah haji Malaysia akan berada di tanah suci Mekah dan Madinah. Mereka adalah insan-insan bertuah kerana dipilih untuk melaksanakan ibadah tersebut. Bayangkanlah setakat 2 Mei lalu, TH menerima lebih 80,000 rayuan haji bagi musim haji kali ini.

 Kalau melihat angka tersebut, jemaah terpilih harus benar-benar bersyukur dan tidak harus mensia-siakan peluang keemasan itu untuk mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT sebaik mungkin. Penuhilah masa untuk beribadah. Jangan habiskan masa dengan tidur di bilik penginapan atau berbual-bual kosong. 

*JANGAN ANGGAP ADA PETUGAS HAJI  SEGALA-GALANYA SEMPURNA

 Tabung Haji telah menghantar lebih 600 petugas bagi melancarkan urusan jemaah haji Malaysia.  Mereka terdiri daripada petugas kebajikan, perubatan, media dan agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 Sepanjang berada di sana mereka akan memastikan jemaah haji Malaysia sentiasa berada dalam sihat, selesa dan selamat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. Jika ada apa-apa masalah, jemaah haji boleh bertemu dengan petugas-petugas tersebut.

 Tetapi dengan jumlah petugas yang agak terbatas berbanding jumlah jemaah yang mencecah 31,600 orang, jemaah haji Malaysia janganlah menganggap dengan adanya petugas-petugas itu segala-galanya harus sempurna serta beranggapan petugas berkenaan boleh menyelesaikan segala masalah mereka. 

Petugas-petugas haji pastinya akan memberi perkhidmatan terbaik dan ini sudah terbukti saban tahun termasuk pada 2023 apabila Kerajaan Arab Saudi memberi Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Utusan Haji. Anugerah ini sekaligus menjadikan Tabung Haji terus diperakui sebagai operator terbaik pengurusan haji pada tahun berkenaan.

 Jika ada masalah jemaah boleh bertemu dengan mereka tetapi di Tanah Suci banyak-banyaklah bersabar, janganlah lif lambatpun disebabkan jemaah ramai, petugas haji mahu dijadikan sasaran untuk ‘melepaskan kemarahan atau rasa tidak puashati membabi buta’.

 Kesimpulannya, sepanjang berada di tanah suci, jemaah haji harus bersabar dan bertimbang rasa kerana sikap yang ditunjukkan kadangkala di luar jangkaan apabila berlakunya tekanan persekitaran seperti terlalu ramai orang, cuaca  panas, waktu  terbatas, kemudahan  terhad dan kawasan sempit.

Imam An Nawawi pernah menyebut dalam kitabnya antara adab memasuki kota Mekah iaitu:“Hendaklah memelihara diri ketika memasuki Mekah daripada menyakiti orang lain dalam kesesakan dan hendaklah mengamalkan sikap bertimbang rasa. Dan hendaklah hatinya merasa kagum dengan kemuliaan tanah haram yang ia berada dan tempat tujuannya serta memaafkan orang lain. Sesungguhnya tidaklah dicabut perasaan rahmah itu melainkan hati yang celaka.”

 Semoga jemaah haji Malaysia akan dapat melaksanakan ibadah haji dengan tenang, selesa dan selamat bagi mencapai ungkapan Lembaga Tabung Haji, ‘’Hadirku sebagai dhuyufurrahman, kembaliku dengan kemabruran”. SELAMAT BERIBADAH WAHAI TETAMU ALLAH!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan peruntuk RM9.46 juta laksana 52 Projek Cakna MADANI perkukuh mitigasi banjir di Sarawak

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM9.46 juta bagi melaksanakan 52 Projek Cakna MADANI di Sarawak tahun ini sebagai langkah memperkukuh...

More Articles Like This