AMAL by Malaysia Airlines dengan kerjasama jenama telekung Siti Khadijah meraikan 284 jemaah Haji KT5 dengan sumbangan kit berupa barangan Siti Khadijah.
Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, adalah satu penghormatan bagi Amal menjalin kerjasama dengan Siti Khadijah sementelah visi dan misi kedua-dua pihak adalah bagi memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan ibadah.

“KT5 merupakan penerbangan pertama yang diproses di Movenpick dan dengan peluang yang ada, kami bekerjasama bersama Siti Khadijah dengan menyumbangkan barangan kegunaan Jemaah di Tanah Suci kepada seramai 284 jemaah Haji. Ia sempena meraikan penerbangan pertama di sini.
“Keseluruhan terdapat 55 penerbangan Haji pada tahun ini pada setiap fasa dan 15,800 jemaah. Penerbangan bermula pada 9 Mei 2024 pada pukul 12.00 am dan hari ini merupakan penerbangan keempat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, penerbangan pertama di Movenpick ini sebagai lambang permulaan kerjasama jangka panjang dengan pengeluar produk telekung popular itu.
“Ini juga merupakan signifikan permulaan kerjasama Amal dan Siti Khadijah dan kami akan meneruskan perancangan untuk kerjasama jangka panjang, terutamanya untuk musim Umrah.
“Kami melihat nilai perkhidmatan yang ada pada Siti Khadijah dan visi selari dengan Amal di mana untuk memudah dan menambah keselesaan jemaah,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Muhaimin Aminuddin menjelaskan kerjasama bersama Amal bakal membuka ruang dan peluang Siti Khadijah dalam membantu meningkatkan keselesaan Jemaah Haji dan Umrah khususnya.
“Usaha untuk kerjasama bersama Amal lebih daripada setahun dan Alhamdulillah hari ini kami dapat peluang untuk sama-sama meraikan jemaah Haji. Kami mahu memberikan keselesaan kepada jemaah Haji dan Umrah dalam mengerjakan ibadah.
“Apa yang istimewa, kami sumbangkan barangan Siti Khadijah berharga RM200 yang berupa barangan kelengkapan solat untuk lelaki dan wanita sewaktu di Tanah Suci nanti,” katanya ketika ditemui.

Bakal memberi fokus kepada barangan lelaki sempena 2024, jelas Muhaimin, sudut koleksi lelaki juga bakal dilancarkan di Butik Siti Khadijah selari dengan misi menyediakan kelengkapan solat yang selesa kepada semua golongan.
“Antara perancangan kami pada tahun ini ialah untuk kembangkan kepada barangan lelaki seperti kain pelekat, jubah, kurta dan kopiah. Malah setiap barangan terdiri daripada pelbagai jenis dan harga mengikut kualiti dan premium.
“Kami memberi fokus kepada produk lelaki pada tahun ini dan kembangkan lagi beberapa variasi. Sebagaimana kami memberikan rangkaian penuh koleksi wanita, begitu juga kepada koleksi lelaki pada tahun ini,” jelasnya lagi.

