Soalan :
Aspek pemakanan sangat penting dalam melahirkan atau menghasilkan anak yang bijak dan pintar. Apakah jenis pemakanan yang sesuai, mungkin boleh dimulakan seawal ibu itu hamil sehinggalah dari usia setahun dan sewaktu mereka membesar (terutama untuk anak-anak yang berada di tadika atau sekolah rendah).
Jawapan :
Sememangnya misi menghasilkan anak-anak bijak dan pintar perlu bermula dari sebelum mereka dilahirkan lagi. Banyak perkara yang perlu dilakukan daripada segi pemakanan, aktiviti mental dan juga keagamaan. Daripada segi pemakanan, selain memastikan pengambilan seimbang, terdapat beberapa langkah yang boleh isteri dan suami lakukan khususnya untuk perkembangan minda bayi.
1. PENGAMBILAN VITAMIN/ SUPLEMEN TAMBAHAN
Ibu yang mengandung perlu berkongsi segala vitamin dan khasiat makanan dengan bayinya. Bekalan secara biasa mungkin tidak mencukupi dan boleh mengganggu perkembangan minda bayi. Berbincanglah dengan doktor anda untuk memastikan jenis dan sukatan vitamin yang sesuai.

2. LEBIHKAN ‘MAKANAN MINDA’
Ini juga boleh dimulakan ketika bayi masih dalam kandungan. Antara makanan minda yang boleh merangsang kepintaran bayi ialah madu (penawar segala penyakit), kurma (kaya dengan vitamin dan mineral), kismis (kaya dengan antioksidan), ikan yang mengandungi ‘omega-3’ (salmon, hering, tenggiri dan sardin) dan kacang badam (mampu meningkatkan daya pemikiran dan ingatan).

3. TANAMKAN TABIAT PEMAKANAN SIHAT DAN SEIMBANG
Setelah bayi dilahirkan sehinggalah mereka bersekolah, amalan pemakanan di atas perlu diteruskan. Jika sudah terbiasa, mereka tidak mempunyai masalah untuk mengambil madu, kurma dan kismis. Pastikan diet mereka juga ada sayuran (paling tidak, mesti ada buah-buahan), telur, oat, roti, susu, ayam dan daging.
Pastikan mereka mendapat sarapan pagi yang sihat, seimbang dan besar kuantitinya, bukannya secara tergesa-gesa. Air kosong juga perlu dibekalkan ke sekolah; jika tidak mereka akan membeli air minuman yang manis atau bergas.



