PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke pentas perlawanan akhir selepas menewaskan pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen dalam aksi separuh akhir Thailand Open 2024, malam ini.
Walaupun tewas dalam set pertama 18-21, Zii Jia tampil cemerlang untuk menumbangkan Tien Chen dalam set kedua dan set penentuan dengan mata 21-12 dan 21-13.
Set pertama menyaksikan Tien Chen berusaha meraih kelebihan ke atas bekas juara Arctic Open 2023 itu dan meraih kemenangan awal
Bagaimanapun anak jati Alor Setar, Kedah itu bangkit pada set kedua dengan meninggalkan Tien Chen pada kedudukan 11-6 dan seterusnya mengalahkan pemain perseorangan ke-14 dunia itu dengan keputusan 21-12.
Keadaan ini mengheret perlawanan ke set penentuan dengan Zii Jia mendahului Tien Chen pada kedudukan 11-8 selepas jaguh Chinese Taipei itu melakukan beberapa kesilapan di jaring.
Kesilapan lawannya itu dimanfaatkan bekas juara All England 2021 itu untuk meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan ini membawa Zii Jia ke pentas akhir Thailand Open 2024. Beliau bakal menentang pemain perseorangan ke-27 dunia dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long.
Angus berjaya mara ke final selepas mengejutkan juara dunia perseorangan lelaki 2023 dan wakil tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

