Mega Star Arena KL bakal digegarkan dengan kemunculan Search, bukti masih lagi relevan

Dari Penulis

KUMPULAN Rock, Search bakal menggegarkan pentas sekali lagi dengan kolaborasi hebat bersama pasukan orkestra yang dijadualkan berlangsung pada 21 September depan.

Kejayaan Search dalam dunia hiburan rock sudah menjadi lumrah bagi para peminatnya. Malah ia juga telah menetapkan diri sebagai ikon dalam industri muzik rock tempatan dengan penuh keunggulan dan kemeriahan.

Sebelum ini, mereka telah berjaya melancarkan siri Konsert Fantasia Bulan Salju yang pertama kali diadakan di Arena of Stars, Resorts World Genting pada Ogos 2023. Namun, keseronokan tidak terhenti di situ apabila pada Januari lalu, mereka memberi kejutan dengan kemeriahan konsert Fantasia Madu Live In Singapore.

Namun begitu, tahun ini Search akan memberikan persembahan yang lebih memukau kepada peminat dengan pertunjukan istimewa bertemakan Search Symphonic Live In Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PGRM).

Menurut Pengarah PGRM, Mohd Roslan Mohd Rafi, kolaborasi ini dianggap memiliki potensi yang berimpak besar walaupun pada mulanya persetujuan bersama ahli kumpulan Search bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Malah, Roslan juga merasakan bahawa cadangan untuk menggabungkan muzik orkestra dengan genre rock merupakan langkah yang tepat bagi Search dalam memperjuangkan hiburan muzik tempatan.

“Adalah satu pencapaian dan kejayaan besar buat Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PGRM) sebaik Search bersetuju untuk mengadakan konsert di bawah anjuran kami.

“Memang bukan satu negosiasi yang mudah tapi sebagai pemain profesional dalam bidang muzik yang sudah mempunyai pengalaman cukup luas dalam berkarya, Search bersetuju dengan konsep yang diusulkan bukan hanya kerana berkonsepkan orkestra tapi sebagai sokongan kugiran tersebut dalam perjuangan muzik tempatan.

“Kami mengucapkan terima kasih yang sebesarnya buat Search dan semoga Search Symphonic Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan 21 September depan di Mega Stra Arena, Kuala Lumpur kelak berjalan lancar,” ujarnya ketika majlis sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bagi Search, untuk mengadakan konsert dalam skala besar pada usia senja adalah suatu penanda aras yang menunjukkan kualiti unggul karya mereka yang sentiasa dihargai oleh peminat setia.

Oleh itu, tiada alasan untuk mereka menolak tawaran pihak penganjur untuk mengadakan konsert ini khas buat para peminanya.

“Undangan demi undangan atau tawaran yang datang buat Search mengadakan konsert berskala besar bukan untuk menjadikan kami megah.

“Sebaliknya ia lebih kepada Search melihat bahawa muzik atau karya yang telah dihasilkan pada tahun 80-an dahulu masih relevan serta sangat dinantikan untuk dipersembahkan secara langsung kepada peminat,” ujar mereka.

Sementara itu, Datuk Amy atau nama lengkapnya Suhaimi Abdul Rahman, 65, selaku vokalis kumpulan, turut berpendapat bahawa kebanyakan lagu yang dilantunkan menimbulkan rasa nostalgia bukan hanya pada generasi sebelumnya, tetapi juga relevan bagi generasi masa kini.

“Biarpun Search akan tetap memandang Pawana, Isabella, Fantasia Bulan Madu untuk ribuan kali, kami tidak dapat menolak hakikat bahawa karya-karya inilah yang mahu terus didengarkan untuk membangkitkan nostalgia buat peminat senior dan salam perkenalan buat pendengar zaman kini terhadap keunggulan era rock dahulu.

“Walaupun tradisi lagu yang sama tapi ia akan diulang kemas semula dengan pemain-pemain orkestra yang bergabung dengan Search sekali gus menjadikan konsert tersebut terbaik buat kami,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, tempoh serta nyanyian lagu yang bakal dipersembahkan masih dalam proses perbincangan dan berharap ia menjadi satu kejutan yang menyeronokkan bagi peminat untuk menantikan keterujaan persembahan hebat dari kumpulan lagenda rock ini.

Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur bakal menemui penonton pada 21 September depan bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.

Tiket dijual pada harga bermula dari RM168 (PS3), RM268 (PS2), RM368 (PS1) dan RM468 (VIP) menerusi laman sesawang www.mytiket.asia atau boleh menghubungi talian tiket hotline di talian 03 8605 0195.

Difahamkan, setiap pembelian tiket konsert akan disumbangkan sebanyak RM10 ke Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu golongan artis yang memerlukan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This