PIHAK pengurusan kumpulan Sumandax atau SMDX tampil mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas kelantangan anggota kumpulan, Elle Thong, yang mendapat kritikan hebat dari netizen selepas memberitahu bahawa dia tidak mengenali kumpulan Dolla.
Menurut kenyataan Prashan Chitty selaku Pengarah Urusan kumpulan XENO, dia berkata akan berjanji memperbaiki kesilapan dengan cara tersendiri.
Namun, dia dengan tegas menolak serta akan menyekat respon berbaur kecaman dan buli terhadap artis-artis di bawah naungan syarikatnya itu.
“Bagi pihak El dan juga SMDX, kami ingin secara formal membuat permohonan maaf kepada semua atas kekhilafan kami. Kami berjanji akan perbaiki lagi cara kami.
“Namun, syarikat kami tidak sekali menerima apa-apa jenis kecaman yang berbaur pembulian dan memalukan artis-artis kami.
“Kami memohon maaf kerna terpaksa membuang Segala komen-komen yang mengandungi sentimen sebegitu. Kami di sini, Cuma ingin belajar dan berkarya,” katanya menerusi kenyataan rasmi di Instagram sumandaxbah.
Dalam masa yang sama, dia juga sedar dan menerima dengan baik kritikan yang diberikan terhadap pemakaian anggota kumpulan, serta berjanji untuk terus memperbaiki dari masa ke masa.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan pemilihan pemakain kami.
“Kami mengakui, banyak lagi yang kemi boileh baiki. Kami mengambil semua kritikan dan dengan izin tuhan, kami akan perbaiki lagi di masa depan,” katanya lagi.

Disamping itu, Prashan turut menjelaskan bahawa lagu Original Sabahan telah mendapat persetujuan bersama dengan pihak Rusa Marketing untuk diterbitkan semula dan diubah suai untuk dinyanyikan oleh anggota kumpulan SMDX.
“Kami ingin mengesahkan bahawa segala kebenaran dari segi penerbitan dan pembikinan semula lagu Original Sabahan telah mencapai perjanjian antara XIOKK dan juga Rusa Marketing selaku syarikat penerbit untuk Herzon, komposer Original Sabahan,” jelasnya.
Terdahulu, Elle menerima kritikan hangat atas perilakunya yang dianggap angkuh dalam sesi siaran langsung di TikTok.
Namun, kontroversi tidak berhenti di situ apabila ahli kumpulannya juga turut terpalit dengan kecaman netizen kerana didakwa memplagiat lagu asal nyanyian Hezron Atmosfera serta mengabaikan teguran terhadap cara berpakaian yang kurang sopan.
Difahamkan, kumpulan SMDX ini terdiri daripada gabungan trio iaitu Elle Thong, 22, Crystal Vanessa John, 23, dan Deveygrayc, 24.

