Cubaan demi cubaan dihadapi wanita ini saat dirinya telah sah bergelar Muslim. Bukan sahaja kehilangan teman-teman rapat, bahkan dia juga menerima cemuhan yang amat hebat dari kalangan keluarga.
Ibunya tidak langsung dapat menerima keislamannya malah tidak juga mengakuinya sebagai anak. Manakala adik perempuannya menganggap dia mengalami gangguan mental hingga bercadang menghantarnya ke hospital sakit jiwa.
Paling menyedihkan apabila ayahnya yang sebelum ini seorang yang begitu lembut dan dihormati di kalangan masyarakat bertindak di luar dugaan. Nyaris dia menjadi mangsa amuk bapa yang bertindak bengis. Hampir juga bapa ingin menembaknya sewaktu menyatakan dia telah memeluk Islam!
Kemuncak kepada cubaan yang dihadapi apabila dia diceraikan suami yang disayangi setelah berpaling kepada kalimah Allah. Sekaligus dia kehilangan hak penjagaan ke atas putera dan puteri yang begitu dicintai hanya kerana bergelar seorang Muslim. Dia terus berusaha agar haknya sebagai seorang ibu diiktiraf.
Dia mengambil keputusan untuk ke Colorado kerana dia tahu undang-undang di sana sama sekali tidak akan menafikan haknya sebagai seorang ibu hanya kerana perbezaan agama. Dia perlu mendapatkan perhatian media massa serta simpati masyarakat di sana.
Namun segala usahanya terus gagal. Entah di mana silapnya, tuntutannya tidak berjaya mempengaruhi keputusan mahkamah. Nasibnya terus dirundung malang. Sekali lagi dia diuji. Dia dipecat dari kerja gara-gara memakai jilbab. Apa lagi yang harus dilakukan. Kini dia tiada sumber pendapatan.
Begitulah cubaan demi cubaan yang datang bertimpa bagi seorang wanita yang bernama Aminah Assilmi selepas memeluk Islam. Dilahirkan di dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Kritian Baptis di wilayah selatan Amerika, Aminah merupakan seorang yang begitu bijak dan aktif ketika di sekolah.
Sentiasa mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan dan mendapat biasiswa dalam pengajiannya. Dia juga membuka bisnes sendiri, selain sebagai juru baptis dia juga adalah penganut feminisme yang setia dan bekerja sebagai wartawan media elektronik.
Saat Pengislamannya
Menyoroti perjalanan hidupnya menemui sinar Islam, ia bermula apabila Aminah ingin mendaftar di universiti pada tahun 1975. Ketika itu dia memilih kursus pelancongan menggunakan komputer. Dan itu juga, pertama kalinya komputer digunakan untuk pendaftaran universiti.
Dalam masa menunggu pra-pendaftarannya selesai, dia pergi ke Oklahoma menguruskan bisnesnya. Disebabkan berlaku masalah yang tidak dijangka, kepulangannya tertunda dua minggu setelah kuliah bermula.
Apabila pulang kembali ke kuliah, betapa terkejutnya dia apabila mendapati data yang telah dimasukkan sebelum ini berlaku kesilapan. Namanya tiada dalam senarai jurusan yang diambil. Sebaliknya tersenarai sebagai pelajar jurusan teater. Jurusan yang cukup tidak digemarinya!
Dia tidak dapat membayangkan bagaimana dia harus tampil membuat persembahan di hadapan orang ramai. Bingung dia memikirkannya. Dia hanya ada dua pilihan- meneruskan atau dia akan kehilangan biasiswanya!
Atas nasihat suaminya, Aminah menemui pensyarah bagi membantu menyelesaikan masalahnya. Pensyarah berjanji akan membantu dan menyuruhnya masuk dahulu ke dalam kelas tersebut terlebih dahulu bagi melihat sendiri bagaimana kuliah ini berjalan.
Dalam keterpaksaan, Aminah melangkah kakinya dengan berat hati menuju ke kelas yang ditetapkan. Ternyata suasananya cukup tidak mampu membuatkannya teruja. Kelas tersebut penuh dengan pelajar Arab yang Aminah gelar sebagai “para joki unta”.
Buntu memikirkannya, Aminah pulang ke rumah dan bertekad untuk tidak sama sekali mengambil jurusan tersebut.
“Saya tidak akan sesekali duduk bersama sekumpulan orang kafir yang hina lagi kotor” katanya jijik dalam hati.
Keresahan dan gundah-gelana Aminah turut dirasai oleh suaminya. Sebagai suami, dia harus membantu isterinya. Lalu dia memujuk supaya Aminah bijak membuat keputusan sebelum keputusan berhenti kuliah diambil. Bagi suaminya, tuhan telah memilih Aminah dan sudah pastinya tuhan mempunyai alasan yang baik terhadap sesuatu perkara yang berlaku.
Aminah bertindak menguncikan diri dalam bilik untuk berfikir dan mempertimbangkan nasihat suaminya. Akhirnya dia memutuskan untuk meneruskan kuliah. Aminah akur, tuhan pasti telah menugaskan dirinya untuk mengajak orang-orang Arab tersebut masuk agama Kristian.
Dan inilah masanya untuk dia mengambil peluang itu dengan melaksanakan misi suci tersebut. Aminah mula mampu memberikan sedikit senyuman kerana dia tahu, pasti suatu hari nanti, pelajar-pelajar Arab itu akan terpengaruh dengan diayahnya! Tidak sabar rasanya untuk melihat berlakunya perubahan itu kelak.
Misi Suci
Aminah pergi ke kuliah dengan satu misi. Sepanjang kuliah, Aminah cuba membicarakan tentang agama Kristian dan mentarbiahkan rakan-rakan Arab dalam kelasnya.
“Saya mula menerangkan kepada mereka bagaimana mereka akan dibakar di neraka untuk selama-lamanya jika mereka tidak menerima Jesus sebagai penyelamat mereka,” ujar Aminah yang pada waktu itu cukup yakin bahawa dia akan berjaya mempengaruhi rakan-rakan kuliahnya.
Keyakinan Aminah terus bertambah apabila rakan-rakan sekuliahnya langsung tidak membantah pendirian dan pandangannya. Sebaliknya, Aminah masih diterima sebagai rakan. Dan ketika inilah Aminah sekali lagi menyatakan, Jesus sangat mencintai mereka dan rela mati di salib untuk menyelamatkan manusia dari dosa-dosa. Apa yang harus dilakukan oleh manusia hanyalah menerima Jesus dalam hati. Terlalu besar harapan Aminah untuk melihat rakan-rakannya termakan pujuk dan kata-kata manisnya.
Ternyata segala usaha yang dilakukan oleh Aminah ibarat mencurah air ke daun keladi. Airnya tumpah, keladi tetap tidak basah. Katakanlah apa sahaja, rakan-rakannya sedikit pun tidak terpengaruh sekalipun dalam masa yang sama, hubungan mereka tetap akrab.
Aminah mula terfikir, apa yang tidak kena dengan misi dakwahnya. Dia tidak berputus asa sebaliknya lebih proaktif. Daripada rakan-rakannya, dia meminta untuk diberikan senaskah al-Quran. Permintaannya tidak disia-siakan.
Al-Quran dibekalkan begitu juga dengan buku-buku tentang agama Islam. Dicapainya al-Quran dan dibaca ayat-ayat tersebut satu persatu. Aminah cuba memahaminya dan terus mencari hujah-hujah untuk menunjukkan al-Quran itu palsu sekaligus menafikan kebenaran Islam!.
Berlaku Perubahan
Semakin al-Quran itu dibaca, semakin banyak yang dia tidak tahu. Semakin banyak persoalan yang bermain di mindanya. Bahkan semakin luas pandangannya terhadap Islam. Lain yang dicari lain pula yang dijumpai. Minatnya untuk tahu perkara-perkara selanjutnya terus mendalam.
Ternyata ayat-ayat al-Quran yang dibacanya memberikannya maklumat yang begitu terkesan di hatinya. Sedikit demi sedikit Aminah mula meninggalkan minuman keras yang selama ini menjadi minuman melegakan kehausannya.
Dia juga sudah mula meninggalkan daging babi yang selama ini menjadi menu tetap di meja santapannya. Bukan itu sahaja, jika selama ini pesta dan bar menjadi tempat untuk bersuka-ria dan bersantai, kini tidak lagi. Secara tidak sengaja, berlaku perubahan yang begitu mendadak terhadap dirinya.
Aminah mula merasakan kebenaran Islam sekalipun hatinya cuba menolak sekeras-kerasnya. Aminah cuba meyakinkan dirinya bahawa Kristian itu benar namun naluri kecilnya mengatakan tidak! Aminah tidak mampu untuk menafikan kebenaran Islam.
Perubahan Aminah mula disedari oleh suami. Lantas timbul pelbagai keraguan termasuk menuduh isterinya curang dengan lelaki lain! Aminah diusir dari rumah tanpa sempat dia membela dirinya.
Dengan perasaan yang sedih Aminah lalu berpindah dan tinggal di apartmen sendirian. Dalam kesendiriannya itu, Aminah masih tetap terus mempelajari Islam. Dia mula melihat Islam agama yang mempertahankan hak wanita.
Sekaligus memadamkan segala persepsi yang selama ini ditusuk dalam minda bahawa Islam itu agama yang menindas wanita. Dia mula tahu, Islam adalah agama yang mengangkat martabat wanita.
Menerima Islam
Satu malam, tanpa disangka, apartmen Aminah dikunjungi oleh empat orang lelaki yang mengenakan busana tradisional Muslim. Mereka berbaju gamis panjang berwarna putih dengan serban bermotif papan catur putih merah melilit di kepala.
Salah seorang dari mereka yang bertindak sebagai ketua memperkenalkan diri sebagai Abdul Aziz al-Syaikh. Dalam kunjungan itu, Abdul Aziz cuba menyatakan, dia tahu hasrat Aminah untuk memeluk Islam namun belum mampu untuk meluahkannya secara yakin.
Agak terkejut dengan kenyataan itu, Aminah cuba menafikannya. Sebaliknya menyatakan dia masih seorang penganut Kristian yang taat. Bahkan tidak sesekali untuk menukar pegangan agamanya sekalipun dalam mindanya masih banyak yang hendak dia tahu tentang Islam.
Desakan ingin tahu yang menguasai diri ketika itu, akhirnya Aminah mengajak tetamunya masuk. Kesempatan itu diambil olehnya untuk bertanyakan segala hal yang menjadi persoalannya sepanjang dia membaca kitab suci al-Quran dan buku-buku berkaitan Islam.
“Ternyata, Abdul Aziz seorang yang begitu sabar dan lemah-lembut. Dia sangat sabar membahaskan persoalan-persoalan yang saya timbulkan. Dia juga tidak membuat saya seperti orang bodoh atau membuat pertanyaan saya seperti pertanyaan yang bodoh,” ujar Aminah.
Dia menyifatkan Abdul Aziz berjaya merungkaikan secara mendalam sesuatu perkara serta memberikan sudut pandang yang berbeza. Aminah benar-benar terpesona dengan keindahan Islam dan memahami segala yang berkaitan dengan Islam, hasil dari jawapan yang diperoleh.
Setelah berdiskusi berjam-jam lamanya, akhirnya tanpa bertangguh lebih lama, Aminah melafazkan syahadah di depan Abdul Aziz dan sahabat-sahabatnya. Langkah yang mengubah hidupnya ini diambil setelah dia begitu yakin dengan penjelasan logik dan diterima akal berkaitan dengan Islam.
Dunia baru Aminah
Akur keputusan yang diambil akan menyebabkan dirinya dibenci, Aminah tetap terus berinteraksi dengan keluarganya secara lemah lembut dan berhemah. Setiap kali ada kesempatan untuk bertemu, dia akan berdakwah kepada mereka dengan cara yang paling halus.
Akhirnya berkat doa dan usaha Aminah tidak sia-sia, neneknya yang sudah berusia lebih 100 tahun adalah yang pertama memeluk Islam sebelum meninggal dunia. Kemudian diikuti pula oleh bapanya yang sebelum ini cuba membunuhnya.
Hidayah terus berkembang mekar di kalangan keluarganya apabila ibunya pula menerima Islam dua tahun kemudian. Selepas itu adik perempuannya dan anak lelakinya yang berusia 21 tahun turut terbuka hati menerima hidayah Allah.
Akhir sekali bekas suaminya juga menerima Islam sebagai landasan hidup selepas 16 tahun berpisah. Ternyata keputusan untuk bergelar seorang Muslim, bukan keputusan yang sia-sia.
Aktif Berdakwah
Kini, selama 33 tahun menjadi seorang Muslim, Aminah aktif berdakwah. Aminah dijemput sebagai pembicara, menulis dan memberikan ceramah di bidang keislaman dan hak-hak wanita. Di peringkat antarabangsa, ramai yang mengenali dan menghormatinya sehingga dia terpilih sebagai salah seorang dari 500 Muslim paling berpengaruh di dunia ketika usianya 65 tahun.
Namun nama itu kini hanya tinggal kenangan. Allah telah memanggilnya pada 14 tahun yang lalu iaitu 5 Mac 2010. Aminah meninggal dunia pada jam 3.00 pagi waktu tempatan, akibat kemalangan kereta berhampiran Newport, setelah selesai memberikan ceramah di New York.
Jawatan terakhir yang disandangnya sebelum meninggal ialah Pengarah Pertubuhan Antarabangsa Wanita Muslim.Meski telah tiada namun jasa dan sumbangannya dalam dunia dakwah akan terus menjadi inspirasi kepada masyarakat antarabangsa kerana dia adalah ikon wanita berjaya.
___________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

