Pernahkah anda menonton video di Internet tentang sejenis burung digelar Anna’s Hummingbird yang mempunyai kebolehan menukar warna bulunya? Dalam masa beberapa saat, burung kecil itu dilihat mampu menukar warna bulu di bahagian kepalanya kepada beberapa warna. Antaranya warna magenta, hijau dan hitam.
Benarkah burung kecil ini mampu menukar warna bulunya? Mengulas laporan thedodo.com, warna bulu burung tidak boleh berubah dan akan kekal sampai bila-bila. Hal ini terjadi pada semua spesies termasuklah jenis Anna’s Hummingbird ini.
Sebenarnya, pertukaran warna itu terjadi disebabkan sudut penglihatan. Situasi sama boleh dilihat pada lapisan minyak di atas air. Pengarah Persatuan Audubon Kebangsaan, Kenn Kaufman memberitahu, pergerakan pantas burung kecil ini menjadi faktor perubahan warna bulu yang kita lihat.

Berdasarkan rekod penyelidikan, burung ini mampu bergerak sepantas 55 kali per saat ketika bertenggek atau sedang terbang. Siapa sangka gerakan pantas sehingga menampakkan warna bulu bertukar hanya dibuat burung jantan sahaja.
Menurut Kaufman, ia sebenarnya satu isyarat untuk menarik perhatian burung betina. Beliau percaya, ia mungkin helah bagi burung jantan untuk mendapatkan pasangan apabila tiba musim mengawan.
Spesies burung Anna’s Hummingbird atau nama saintifiknya digelar sebagai Calypte anna berasal dari barat Amerika Utara. Ia merupakan salah satu spesies daripada 325 jenis sub famili Hummingbird di seluruh dunia.
Oleh sebab tergolong dalam kumpulan unggas ini, ia tidak terkecuali dikategorikan sebagai burung terkecil di dunia. Justeru, tidak hairanlah jika seekor burung ini mampu membesar sehingga 10.9 sentimeter panjang. Berdasarkan rekod, spesies Bee Hummingbird adalah paling terkecil dengan ukuran enam sentimeter.

Selain itu, Anna’s Hummingbird dikategorikan sebagai satu-satunya spesies dalam sub famili Hummingbird yang mempunyai bulu berwarna magenta di bahagian kepala. Kebiasaannya, warna ini akan muncul pada burung jantan dewasa. Manakala bagi burung betina pula ia lebih tertumpu pada warna hijau tua.
Burung Anna’s Hummingbird mengamalkan diet pemakanan nektar (cecair manis dalam bunga), sama seperti sub famili yang lain, selain turut memakan serangga-serangga kecil. Oleh sebab ia menjadikan nektar sebagai makanan utama, burung ini dikategorikan sebagai agen bagi proses pendebungaan tumbuhan berbunga.
Kawasan terbuka, hutan rimbun atau kawasan padang rumput sepanjang pantai Pasifik dari British Columbia hingga Arizona menjadi habitat pembiakan spesies burung ini. Lokasi pohon renek seperti pokok anggur menjadi tempat burung ini membuat sarang.
Kebiasaannya, sarang akan dibina burung betina. Difahamkan, burung betina akan membuat sarang pada pertengahan bulan Jun hingga Disember. Bagaimanapun, ia bergantung keadaan sekitar atau faktor cuaca.

Burung ini turut diklasifikasikan sebagai haiwan yang mempunyai jangka hayat panjang. Berdasarkan rekod, haiwan bersayap ini mampu hidup sehingga 10 tahun. Ada juga kajian tidak rasmi mendakwa spesies Broad-Tailed Hummingbird mampu hidup sehingga 11 tahun. Difahamkan, burung ini berjaya ditangkap pada tahun 1976 dan dilepaskan semula pada tahun 1987.
Selain pergerakan pantas sehingga menampakkan bulu bertukar warna, terdapat satu fakta menarik lain tentang burung ini. Burung Anna’s Hummingbird jantan khususnya akan melakukan aksi berani untuk menarik perhatian pasangannya. Selalunya ia akan terbang setinggi 40 hingga 50 meter sebelum menjunam laju pada ukuran kecepatan 29 meter per saat.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

