PENYANYI popular Indonesia, Melly Goeslaw hanya mengambil masa sekitar 15 minit secara spontan menghasilkan lagu khas untuk Palestin sekaligus membuktikan dirinya seorang maestro muzik yang genius.
Momen membanggakan itu tercipta ketika berlangsungnya konsert Melly Goeslow & Friends: Malam Graduasi di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Menerusi segmen khas itu, Melly atau nama sebenarnya Meliana Cessy Goeslaw,50, turut memanggil dua penonton untuk bersama-samanya di atas pentas mencipta lagu berdasarkan lirik yang ditulis spontan.

“Kita boleh meraikan konsert dan boleh berhibur, tapi kena sentiasa ingat akan situasi yang berlaku di Palestin.
“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas,” katanya.

Pada masa sama, Melly turut menegaskan mengenai situasi berlaku di bumi Gaza perlu dipandang serius dengan mengetepikan soal agama dan bangsa.
Dia turut menyeru agar semua penduduk di seluruh dunia bersolidariti untuk Palestdi pin.
“Tidak mengira sama anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun tidak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apa saja.
“Tapi yang utama adalah kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” ujarnya lagi.

Menggunakan lirik yang ditulis oleh dua penonton itu tadi, Melly pantas melagukan sebuah irama indah dengan iringan muzik orkestra sehingga menitiskan air mata.
Konsert yang berlangsung sekitar dua jam 30 minit itu menyaksikan seleksi hits 29 buah lagu dipersembahkan di samping kemunculan istimewa bintang rap popular Joe Flizzow menyanyikan lagu Jika duet bersama Melly.

Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Tak Tahan Lagi, Ingin Mencintai Dan Dicintai, Gantung, Suara Hati Seorang Kekasih dan Let’s Dance Together.
Melly turut menyanyikan beberapa lagu yang dipopularkan oleh selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Biarlah Rahsia), Datuk Rossa (Ayat-Ayat Cinta), Menghitung Hari (Kris Dayanti), Pencinta Wanita (Irwansyah), Sampai Menutup Mata (Acha Septriasa) dan Jangan Pernah Berubah (Marcell).

Sekitar 9,000 penonton hadir dengan bertemakan pakaian seragam sekolah. Malah, setiap penonton turut diberikan mortar board pelbagai warna sebagai kenang-kenangan.
Bertemakan malam graduasi, konsert dibawakan oleh AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment.
Di akhir persembahan, Melly sempat mengumumkan bahawa dia bakal kembali lagi ke Malaysia di lokasi yang sama untuk konsert bertemakan ‘Prom Night’ pada 31 Mei tahun hadapan.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

