SYARIKAT kontraktor bumiputera, iMHome Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan KAB Goldynamics Sdn Bhd (KAB Gold) bagi membolehkan pelanggan yang memiliki pegangan emas fizikal untuk membina kediaman idaman.
Majlis pemeteraian MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Pemasaran iMHome, Shahrul Izuan Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Khairul Anuar Basri, hari ini.
Shahrul Izuan dalam kenyataan menyifatkan kerjasama itu adalah ‘menang-menang’ antara kedua-dua syarikat dan pelanggan.
Menurut beliau, kerjasama pertama seumpamanya itu diperkenalkan dengan menjadikan pegangan emas sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada rakyat Malaysia.
Beliau turut menyatakan rasa bangga dapat bekerjasama dengan KAB Gold yang memberi peluang kepada orang ramai menggunakan pegangan emas sama ada jongkong, kepingan emas atau barangan kemas untuk membina rumah kediaman yang diinginkan.
“Kini semakin ramai yang membeli emas bagi tujuan pelaburan atau simpanan masa depan mereka. Populariti emas meningkat kerana ia menawarkan keuntungan yang berlipat kali ganda sejak kebelakangan ini.
“Di bawah kerjasama ini, iMHome akan membangunkan rumah kediaman manakala KAB Gold pula bertindak sebagai pengurus transaksi jualan emas antara pelanggan dengan iMHome termasuklah dalam menentusahkan ketulenan dan nilai semasa pegangan emas fizikal tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ditubuhkan pada tahun 2016, iMHome merupakan sebuah syarikat kontraktor bumiputera yang telah membangunkan ratusan kediaman berkualiti di seluruh negara.
Baca artikel lain: CIMB lantik Novan Amirudin sebagai CEO Kumpulan yang baharu
Mengulas lanjut, Shahrul Izuan memaklumkan, KAB Gold akan menukarkan pegangan emas milik pelanggan yang terlibat kepada tunai sebelum dijadikan wang pendahuluan sehingga 50 peratus daripada kos pembinaan rumah kediaman.
Jelasnya, kemudahan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia termasuk 40,000 ahli KAB Gold di seluruh negara.
“Kami melihat usaha ini sebagai langkah penting dalam meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri dengan iMHome menawarkan pelbagai reka bentuk rumah kediaman serendah RM65,000 ke atas.
“Kami mahu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah idaman mereka sambil memanfaatkan pegangan emas sebagai aset untuk pembayaran. Ini bukan hanya memudahkan proses pemilikan rumah tetapi juga memberikan peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Khairul Anuar berkata, kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia supaya melihat emas bukan sekadar alat pelaburan semata-mata.
Beliau berkata, langkah memanfaatkan simpanan emas untuk memiliki rumah kediaman dijangka dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyimpan emas.
“Kemudahan ini adalah satu peluang yang sangat baik dalam memiliki rumah secara bayaran penuh tanpa perlu bergantung kepada hutang pembiayaan yang agak membebankan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

