Sekiranya berlaku sebuah perceraian maka perlulah kita faham bahawa cerai ini bukanlah kemusnahan yang dahsyat. Allah menyebut cerai dalam beberapa surah antaranya surah an-Nisa’.
Bahkan ada surah khusus yang dinamakan dengan at-Talaq. Dalam surah Talaq misalnya Allah menyebut “Sekiranya sampai idah mereka maka tahanlah mereka dengan makruf atau lepaskanlah mereka dengan makruf…” selain mengambil pengajaran daripada hukum idah ayat ini juga mengajarkan kita perceraian itu sesuatu yang disyariatkan untuk menjadi jalan keluar bagi kesulitan rumah tangga yang kusut. Maka perceraian bukanlah sebuah kubur persaudaraan.
Tetapi ia adalah jalan keluar bagi pasangan yang tidak mampu mencapai kebahagiaan. Walaupun ada hadis ‘Perkara halal paling dibenci oleh Allah adalah talak’. Tetapi hadis ini dipertikaikan kesahihannya oleh ulama hadis berdasarkan beberapa persoalan antaranya percanggahan matannya dengan hukum fikah yang umum.
Bahawa halal itu di atas garis makruh dan kebencian Allah hanyalah pada yang makruh dan haram.
Begitu pun bukanlah tujuan kita menggalakkan perceraian cuma perlu kita faham berkahwin bukanlah perangkap mati yang akan mengurung kita walaupun kita tidak menggapai bahagia di dalamnya. Tetapi implikasi perceraian sangat memberi kesan kepada Pendidikan anak-anak. Ini semua perlu difikirkan dan difahami oleh pemuda-pemudi yang sedang berkira-kira untuk melangsungkan perkahwinan.
Selain memilih pasangan dan merancang kewangan. Memikirkan tempoh rumah tangga akan berlangsung kadang-kadang membawa kepada kerisauan tetapi percayalah setiap hari yang dilalui dalam rumah tangga adalah pengalaman baru yang menarik sekiranya kita lalui dengan sedar dan faham.
Kesedaran ini perlu diikuti dengan penghayatan Islam. Jika rumah tangga dibina menurut landasan sunah kebahagiaan itu seolah hampir kepada pasti. Menjauhi maksiat dan larangan Allah itulah kunci kebahagiaan hakiki. Kerana maksiat itulah sebenar-benar penderitaan. Maka usia pengantin hanyalah ukuran zahir yang tidak memberi makna yang besar kerana kematangan itu bukanlah pada usia seseorang tetapi kematangan itu pada cara berfikir.
Ketaatan kepada Allah akan membuahkan kebahagiaan dalaman yang menjadi tiang kukuh dalam menjayakan rumah tangga. Sesuai dengan inilah usaha kerajaan mengadakan kursus perkahwinan sebelum seseorang menjadi pengantin adalah sangat wajar tetapi kita perlulah melihat semula pada bahan-bahan yang disampaikan ke manakah hala tujunya.
Jangan kerana diwajibkan oleh jabatan agama sahaja kita menghadiri kursus perkahwinan, kita perlu hadir dengan hati dan minda yang sedar.
Pemuda dan pemudi yang enggan taat kepada Allah akan menderita dalaman seterusnya membawa derita luaran yang lebih dahsyat. Apabila dosa memenuhi hati kematangan itu akan reput dan melumpuhkan jiwa yang sedar inilah kegagalan sebenar dalam mencapai bahagia rumah tangga. Inilah pasak kebahagiaan inilah juga punca berkat kehidupan. Sekali lagi saya kemaskan usia hanyalah angka.
Sekiranya kematangan dan rasa tanggungjawab sudah ada maka kita hanya memerlukan pasangan yang baik untuk mengecap bahagia.