Tanggungjawab yang digalas bukan calang-calang, wanita ini menjadi tulang belakang kepada penjenamaan sesebuah syarikat. Memegang nama-nama besar pemain industri kecantikan dan fesyen, Nurul Fadhilah Jamian menekankan kepentingan media arus perdana dalam meningkatkan kredibiliti sesebuah jenama untuk terus kekal relevan dalam pasaran.
Berkongsi cerita dengan Wanita, Ketua Pegawai Eksekutif MNT Media yang lebih mesra disapa Nurul ini menyatakan banyak syarikat yang terlepas pandang isu penjenamaan dan lebih mementingkan jualan.

“Cabaran kami ialah ramai sebenarnya yang kurang faham akan kepentingan media dalam menaikkan jenama atau kredibiliti sesebuah syarikat. Dan di sinilah tugas kami untuk memberi kefahaman bahawa media arus perdana dapat memberi nilai tambah pada sesebuah jenama. Malah ada yang merasakan media baharu seperti pempengaruh lebih berkesan namun itu adalah segmen media yang berbeza.
“Liputan media sangat penting bagi penjenamaan sesebuah syarikat kerana setiap penulisan itu memberikan pengaruh berbeza mengikut pembaca masing-masing. Malah media arus perdana ini mempunyai engagement yang sangat tinggi dan memberi pengaruh kepada kredibiliti sesebuah jenama.
“Jenama itu sangat penting supaya dikenali ramai dan ia tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Mengapa syarikat besar masih membuat branding dan sanggup berbelanja besar untuk kekalkan jenama? Kerana jenama perlu kekal relevan dan sentiasa meniti di bibir pengguna dan disinilah media memainkan peranan,” katanya.

Bersyukur laluan kerjaya yang dibina berjalan lancar, wanita berusia 41 tahun ini terus mengorak langkah dengan memberi fokus kepada persediaan mengelola dan merangka sesebuah majlis secara total.
“Untuk tahun ini kami sasarkan pendapatan sebanyak RM300,000 melihatkan momentum bisnes yang semakin positif. Dan kami akan memberi fokus kepada perancangan yang lebih besar pada tahun hadapan dengan merangka sendiri majlis dari mula hingga selesai dan masih dibantu agensi media yang lain.
“Cuma kekangan buat masa ini ialah mendapatkan pekerja yang berkaliber. Dan atas sebab itu saya banyak bekerjasama dengan agensi perhubungan awam agar tanggungjawab yang diberi dapat disempurnakan sebaiknya.
“Saya banyak belajar daripada sifu yang sudah lama berkecimpung dalam dunia, bagaimana memberikan perkhidmatan terbaik, cara membina hubungan dan paling penting untuk sediakan laporan akhir yang sesuai untuk auditor syarikat. Dengan itu jenama atau syarikat dapat melihat sendiri nilai keseluruhan siaran media yang diberikan,” tambahnya lagi.

Mengimbau kembali detik permulaan kerjaya dalam industri media, wanita berasal dari Banting ini bertemu ‘jiwa yang hilang’ selepas diberi peluang menjadi seorang penulis senior di sebuah portal politik.
“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang perbankan selama lima tahun, namun jujurnya ia bukan jiwa. Saya bekerja hanya sebagai memenuhi tuntutan hidup dan membayar komitmen bulanan.
“Dan kerjaya dalam bidang media bermula apabila saya mendapat peluang sebagai penulis di sebuah portal politik. Saya belajar selok belok penulisan dan peri pentingnya media sebagai wadah maklumat penting kepada masyarakat. Malah dengan medialah sesebuah organisasi atau individu dapat berkembang dan membina jenama dengan lebih berkredibiliti.
“Walaupun jodoh tidak panjang dan saya hanya sempat berkhidmat hampir tiga tahun, namun ini detik penting dalam kerjaya di mana saya temui jiwa di sini. Saya teruskan menulis dengan portal sendiri dan dalam masa yang sama memulakan agensi media,” kongsinya lagi.

Tidak menunggu lama selepas kehilangan kerja, dia mencari tapak dalam industri dan memulakan agensi media sendiri selain masih aktif menulis untuk portal.
“MNT Media bermula sejak lima tahun lalu pada 2018 dan bermula secara kecil-kecilan dengan membantu rakan dalam industri. Pada waktu itu saya bekerja secara ‘freelance’ dan pada masa yang sama aktif menulis untuk portal sendiri, Malaysia News TV.
“Dan daripada situ saya mula membina hubungan dengan ‘orang media’ dan mengorak langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam industry,” jelasnya.

Tidak mudah mengalah kepada cabaran yang mendatang, Nurul mengakui empat tahun pertama dia terpaksa bergelut mencari tapak sebelum bertemu rakan strategik yang banyak membantu melancarkan perjalanan bisnes.
“Jujurnya pada permulaan memang sangat mencabar, namun saya tahu inilah kemahuan dalam diri. Saya nekad teruskan dan kuasai kemahiran berkomunikasi agar perjalanan bisnes lebih mudah. Suami banyak memberi semangat dan kekuatan bagaimana mahu membina hubungan dalam industri dan alhamdulillah ia sangat membantu apabila kita jenis ‘ringan mulut’ untuk bersapa.
“Dan syukur saya dipertemukan dengan insan-insan yang membantu mengembangkan agensi ini dengan lebih besar dan lancar. Setakat ini banyak jenama besar yang telah dibantu agensi antaranya Elrah Exclusive, Noir, Telekung Siti Khadijah dan beberapa syarikat korporat,” tambahnya.

