KEKOSONGAN luar jangkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menunjukkan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai anti lompat parti dan notis terhenti keahlian parti adalah teratur dan mengikut kehendak undang-undang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan Speaker DUN Kelantan itu juga selaras dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rakyatnya telah terhenti keahlian partinya secara serta-merta.
Katanya, peruntukan itu adalah selaras dengan undang-undang antilompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Ammar Nik Abdullah yang telah mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Nenggiri.
“Kekosongan ini berlaku susulan notis yang dihantar oleh parti Bersatu kepada Speaker DUN Kelantan berhubung terhentinya keahlian ADUN Nenggiri dari parti Bersatu secara serta-merta kerana telah melanggar Fasal 10.4 Perlembagaan parti.
“Bersatu bersama parti anggota Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Nenggiri yang akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Insya-Allah dengan izin Allah SWT dan dukungan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.
Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu sudah digugurkan keahliannya serta-merta.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Ia selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

