PERSONALITI media sosial, Dahlia Rizal mendedahkan pernah teringin menceburi bidang lakonan sebelum minatnya itu tidak mendapat persetujuan suami yang juga pelakon dan penyampai radio, Imran Aqil.
Jelas Dahlia,23, suaminya enggan dia berlakon dengan pelakon lelaki lain sekiranya ditawarkan sebarang watak.
“Sebenarnya kalau suami bagi izin, saya tak akan tolak untuk cuba bidang lakonan tapi buat masa ni, suami tak izinkan.
“Dia tak bagi saya berlakon dengan hero selain dia atau berlakon drama cinta. Tapi kalau dapat berlakon dengan dia, okay saja tak ada masalah,” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, Dahlia turut mendedahkan kekurangan dalam dirinya yang sukar menghafal skrip turut mendorong dia untuk tidak beraksi di hadapan kamera.
“Saya memang minat bidang lakonan bukan tak minat. Tapi disebabkan saya selalu sukar hafal skrip ketika mempromosikan jenama produk.
“Saya pernah juga bercakap dengan suami tentang hal ini. Dia anggap saya belum betul-betul bersedia untuk berlakon lagi.
“Saya pun risau nanti di set penggambaran akan buatkan pengarah rasa marah dengan saya,” katanya yang juga duta produk kesihatan, K-Colly.
Takut azab akhirat
Bergelar pempengaruh, Dahlia sering dihujani tawaran sebagai duta produk tempatan.
Bagaimanapun, ia tidak membuatkan Dahlia lekas gelap mata dengan nilai wang ringgit yang diberikan tanpa menetapkan syarat kepada pemilik sesebuah produk.
“Saya letak syarat untuk tidak akan bersetuju terima tawaran jadi duta tanpa mencuba dulu produk.
“Saya tak nak tanggung azab akhirat kalau tak jujur atau berlebih-lebihan tanpa cuba produk dulu.
“Saya mula sedar perkara selepas hadir majlis ilmu agama PU Azman mengenai topik ‘influencing’,” ujarnya.
Tambah Dahlia, dahulu dia akan menerima apa sahaja produk yang diberikan dan akan berkongsi komen sekiranya menyukai sesuatu produk.
Namun, kini dia mengambil masa untuk memberikan ulasan jujur kepada pengguna lain.
“Saya ingat lagi PU Azman pesan untuk padam video-video yang kita bagi komen sedangkan kita sendiri tak cuba lagi produk itu.
“Dia suruh bertaubat dan saya akan dapat dosa besar kalau tipu buat ulasan. Saya takut balasan akhirat.
“Bayangkan jika 100,000 orang yang beli produk atau makanan yang saya ulas tapi sebenarnya tak bagus atau tak sedap, berapa banyak dosa saya kena tanggung?
“Dulu saya muda dan hanya fikir nak duit saja tapi sekarang saya mula sedar tanggungjawab seorang pempengaruh seperti sangat berat dan besar,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

