Mengakui obses kepada beg tangan, ulas selebriti dan pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi memenuhi hasratnya memiliki tas tangan berjenama.
Ulas wanita jelita ini, jika dahulu dia lebih senang membeli belah secara dalam talian, namun kini impiannya lebih besar, mahukan beg tangan mewah.
“Banyak impian apabila mula pegang duit sendiri dan dari dulu saya memang gilakan beg tangan. Sewaktu sekolah saya sanggup menyimpan duit semata-mata mahu membeli beg Charles And Keith. Dan sekarang apabila ada rezeki lebih, matlamat saya nak beli beg Prada dan LV. Buat masa ini saya sudah punya dua beg iaitu Prada dan LV berharga lebih kurang RM20,000. Namun saya tidak kisah untk beli beg preloved asalkan ia cantik.
“Apa yang kelakar, dulu sebelum kahwin ibu katakan dekat Imran bahawa saya tidak minat beg tangan mahal, namun selepas kahwin lain pula ceritanya,” kata Dahlia ketawa.
Berkongsi kisah lucu memasak buat pertama kali untuk suami, ulas wanita berusia 22 tahun ini, dia banyak merujuk kepada ibu dan resipi di internet sebagai panduan.
“Alhamdulillah hampir genap sebulan saya bergelar isteri dan saya masih cuba sesuaikan diri. Apa yang lucu sewaktu kali pertama saya memasak untuk suami. Kemudian Imran tegur untuk perbaiki lagi masakan kerana nasi goreng yang dimasak agak masin. Saya beritahu itu ialah nasi goreng ikan masin jadi memang ia agak masin.
“Namun saya sukakan kejujuran Imran dan itu membolehkan saya untuk terus improve dalam masakan kerana saya tak pandai memasak. Selalunya saya akan meminta bantuan ibu ataupun ikut resipi Che Nom di internet,” kongsinya.
Dahlia turut bercerita kisah tidur di ruang tamu gara-gara suaminya lupa untuk membasuh pinggan.
“Sewaktu itu saya merajuk dan tidur di sofa ruang tamu kerana dia terlupa basuh pinggan. Perjanjian kami jika saya memasak, dia akan basuh pinggan. Kami akan bahagikan tugas masing-masing,” katanya lagi.
Terdahulu, Imran Aqil dan Dahlia Rizal selamat menjadi suami isteri dengan hanya satu lafaz. Dalam majlis tertutup yang diadakan di Ayer Keroh, Melaka, Imran menyerahkan mas kahwin sebanyak RM 300 selepas mengingat tali pertunangan Ogos tahun lalu.

