MALAYSIAN Football League (MFL) mendenda Selangor FC RM100,000 kerana menarik diri dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu, di samping perlu menentang pasukan itu dalam Liga Super tanpa penonton di gelanggang sendiri.
Badan itu dalam kenyataan berkata, kelab itu juga perlu membayar pampasan kerugian yang ditanggung JDT dan MFL akibat pembatalan kejohanan tersebut yang jumlahnya akan ditentukan oleh kedua-dua pihak terbabit.
“Keputusan lain adalah pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.
“Perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (PJ) akan dimainkan tanpa penonton,” katanya.
Bulan lalu, Selangor FC memutuskan untuk ‘tidak akan hadir’ dalam perlawanan menentang JDT itu selepas MFL menolak permohonan mereka menunda tarikh asal perlawanan atas alasan ‘faktor keselamatan’.
Pasukan itu membuat keputusan berkenaan selepas penelitian dan perbincangan terperinci mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukannya.
Permohonan Selangor FC itu susulan insiden malang menimpa tonggak utamanya Faisal Halim yang cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, 5 Mei lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas akibat insiden berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

