SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat murka dengan keputusan terbaharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC susulan ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 10 Mei lalu.
Sultan Sharafuddin bertitah, keputusan MFL itu tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
Baginda turut menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Beta terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013.
“Hamidin juga berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) daripada Beta,” titah Sultan Selangor.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap Selangor FC itu adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.
Sultan Selangor bertitah, baginda telah memberi perkenan kepada Sultan Selangor menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih itu kerana pemain Gergasi Merah masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.
Baca artikel lain: Tarik diri Piala Sumbangsih: Selangor didenda RM100,000, bermain dengan JDT tanpa penonton di PJ
“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui Datuk Seri Harun Idris sehingga beta bersara pada tahun 1990.
“Dalam tempoh itu, belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini. Sukan sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.
“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan serta kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati serta belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.
Titah Sultan Selangor, apa yang berlaku itu bukan sahaja mencemar kredibiliti sukan bola sepak negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju Selangor FC.
“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung dalam FAS. Namun, jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh tertentu,” titah Sultan Selangor.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

