
‘’SEMUA serba tak kena untuk PH-BN’’ itulah kesimpulan dibuat oleh seorang pemerhati politik yang berada di Sungai Bakap sejak sehari sebelum penamaan calon hinggalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu berakhir semalam.
Ketika pemimpin Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional (BN) begitu teruja untuk meneruskan momentum kemenangan di PRK Kuala Kubu Bharu yang dicapai kira-kira tiga minggu sebelum pertembungan di Sungai Bakap, pengundi DUN tersebut khususnya orang Melayu yang keluar mengundi semalam bagi mencari pengganti Allahyarham Nor Zamri Latiff dari PN yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu membuktikan mereka ‘berotak dan berwatak’ dalam mengundi.
‘Berotak dan berwatak’ adalah ayat yang digunakan oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek ketika berkempen meminta pengundi Sungai Bakap menyokong calon PH, Dr.Joohari Ariffin. Mereka membuat keputusan mengekalkan kerusi itu di tangan PN yang diwakili Abidin Ismail dari Pas dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi. Abidin meraih 14,489 undi menewaskan Dr. Joohari yang mendapat 10,222 undi.
Beberapa sumber yang berada di Sungai Bakap sepanjang kempen berlangsung berpendapat, faktor utama kekalahan PHBN di DUN itu disebabkan banyak faktor dan ada antara faktor itu akibat ‘kecuaian’ pemimpin gabungan berkenaan.

Berikut antara faktor besar yang menjadi punca kekalahan PHBN:
* Harga diesel, kenaikan kos hidup, masalah air
Ia dikatakan menjadi faktor utama yang menggagalkan misi PHBN di Sungai Bakap. Walaupun kerajaan sudah memberi penjelasan di sebalik penyelarasan diesel yang dilakukan, namun pengundi yang merasai impak akibat kenaikan itu menunjukkan protes mereka melalui peti undi.
Lebih parah apabila ketika kemarahan atau rasa puas hati pengundi tengah ‘membuak-membuak’, PHBN menghantar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk berkempen. Kehadiran Rafizi yang terkenal dengan formula ‘turun harga minyak’ sebelum PRU-15 ternyata hanya menyulitkan lagi laluan PH-BN untuk menang.
‘’Orang dah jemu dan muak dengan alasan kenapa harga diesel terpaksa dinaikkan sedangkan dulu Rafizi lah yang kata sebagai negara kaya minyak, tidak ada masalah untuk Malaysia turunkan harga bahan itu, tetapi bila mereka dah memerintah harga diesel naik dan mungkin selepas ini petrol pula, jadi mereka dah tak boleh terima apa jua hujah Rafizi ketika berkempen,’’ kata satu sumber.
Kata sumber berkenaan, nasib PHBN makin buruk dalam PRK itu kerana masalah kenaikan kos sara hidup akibat penyelarasan harga diesel dirasai oleh semua pengundi tidak kira kaum.
‘’Tak kiralah pengundi Melayu, Cina atau India, mereka tertekan dengan kenaikan harga diesel hingga menjejaskan pendapatan mereka sebab itulah bukan kata Rafizi, malah mana-mana juga menteri datang bercakap…mereka dah tak percaya,’’ kata sumber itu.
Sumber itu juga berkata, pengundi juga bosan dengan isu masalah air di Sungai Bakap yang tidak selesai-selesai walaupun sudah tiga penggal PH memerintah Pulau Pinang.
‘’Tindakan ‘menyerang’ kembali Sanusi (MB Kedah) yang menawarkan air bersih bagi menyelesaikan masalah air di Nibong Tebal termasuk di Sungai Bakap hanya ‘memakan diri, sebabnya PKR perintah Pulau Pinang tetapi mereka tak ada solusi untuk masalah itu,’’ kata sumber tersebut.
Ketika berkempen di PRK tersebut, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor menawarkan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar, Kulim untuk menyelesaikan kekurangan air mentah atau tekanan rendah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Ikutkan tak ada masalah sebab kedudukan jajaran paip yang dekat dan sangat mudah dari segi ‘maintenance’ (penyelenggaraan). Bukan seperti Kedah. Saya hairan dan malam ni baru tau. Jadi, saya nak umum kalau tak ada air di Nibong Tebal, saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar. Di LRA Lubuk Buntar ada lebihan air bersih di situ. Dengan suci hati tapi kena beli. Tak boleh ambil free (percuma) macam Sungai Muda,” katanya.
*Tindakan kecam ulama ketika berkempen
Perbuatan mengecam ulama Pas yang dilihat melampau oleh individu tertentu penyokong PH turut menjadi penyumbang kepada kekalahan PH di Sungai Bakap.
‘’Yang ni beri kesan besar sebab majoriti penduduk Sungai Bakap orang Melayu. Walaupun mereka berbeza fahaman politik tetapi bab ulama ini..tak kira ulama PH ke, ulama UMNO ke ulama Pas ke..mereka tak akan kecam.
‘’Tetapi bila ada individu pi kecam ulama Pas…itu beri kesan negatif sokongan orang Melayu kepada PHBN. Tambahan pula kedua-dua calon cukup menghormati antara satu sama lain.Mereka berkempen secara sihat dan tidak kecam mengecam, apatah lagi nak kecam ulama,’’ kata sumber itu lagi.
- Orang Melayu tolak kerjasama UMNO-DAP
Keputusan PRK DUN Sungai Bakap juga mengesahkan cakap-cakap sebelum ini bahawa UMNO sudah ditolak hampir secara total bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga sebahagian besar ahli UMNO.
Sumber berkata, agak mengejutkan apabila andaian awal sekurang-kurangnya separuh daripada ahli UMNO di Sungai Bakap iaitu sekitar 3,000 orang akan keluar mengundi meleset.
“UMNO dakwa ada ahli seramai hampir 5,000 orang, oleh itu dengan keyakinan begitu tinggi pemimpin UMNO dan keterujaan mereka untuk memastikan kemenangan calon PH, maka dijangkakan tak kurang 2,500 orang ahli UMNO akan keluar mengundi tetapi ia tidak menjadi kenyataan.
‘’Akibatnya undi orang Melayu kepada calon PH terus merudum, jadi bolehlah dipersoalkan kalau ada yang kata ada sedikit peralihan undi Melayu kepada pakatan itu sebab angka tak menunjukkan begitu,’’ kata sumber.
Ditanya apa yang menjadi punca penolakan orang Melayu termasuk ahli UMNO tersebut, sumber itu berkata, mereka tidak boleh terima kerjasama parti itu dengan DAP.
‘’Penolakan itu bukan dilakukan secara sembunyi-sembunyi malah secara terbuka, contohnya ketika berkempen, seorang pemimpin kanan UMNO yang begitu ‘menyanjung tinggi’ kerjasama dengan DAP telah diejek ,’’ kata sumber itu tanpa mendedahkan identiti pemimpin tersebut.
Kata sumber berkenaan, terdapat juga segelintir ahli UMNO yang enggan mengundi kerana bersimpati kepada nasib bekas Presiden parti,Datuk Seri Najib Tun Razak namun penolakan terhadap kerjasama dengan DAP lebih ketara dan ia dikatakan sudah merebak ke seluruh negara.
Kesimpulannya, itulah antara faktor yang menyumbangkan kekalahan besar PHBN di Sungai Bakap. Ia belum lagi termasuk faktor perasaan tidak puas hati penyokong PH sendiri yang menganggap Kerajaan Perpaduan gagal melakukan reformasi seperti mana dijanjikan.
Disebabkan perasaan itulah, Ahli Parlimen Kepong daripada DAP Lim Lip Eng terkejut apabila tetamu pada satu majlis makan yang kebanyakan berbangsa Cina bertepuk tangan apabila beliau mengumumkan kemenangan calon PN di Sungai Bakap.
Mereka bertepuk sebagai tanda protes dan sebagai isyarat kepada PHBN…jangan main-main dengan kuasa rakyat kerana mereka juga ‘berotak dan berwatak’ untuk membuat keputusan seperti mana dibuktikan oleh pengundi-pengundi Sungai Bakap khusunya orang Melayu.

