“Afham pernah cakap dia nak jadi terkenal. Satu Malaysia kenal adik Kekfa (Efahanie) sekarang, tapi bukan macam ni Am (Afham).”
Demikian luahan kakak kepada penyanyi Allahyarham Nidza Afham iaitu Efahanie menerusi platform X selepas pihak polis mengesahkan mayat yang ditemui di Sungai Klang sekitar pukul 7 malam semalam ialah adiknya.
Efa berkongsi perasaannya yang seakan masih tidak percaya adik lelaki kesayangannya itu ditakdirkan pergi dalam keadaan menyayat hati.
“Semalam, waktu begini kita dah kat luar aktif mencari semua temapt moga dapat jumpa Am semula.
“Sampai petang Kekfa ada dekat sungai rasa ‘clueless’.
“Kami doa agar Allah tunjukkan di mana Am berada. Mulut Kekfa kata reda kalau Am dah tak ada. Sekarang reda tu berat Am,” ujarnya.
Malah, Efa turut berkongsi hari ini dia masih berharap agar adiknya itu akan kembali bernyawa seperti sebelum ditemui lemas.
“Kekfa masih semangat nak keluar pagi ini sambung cari Am lagi. Kekfa masih harap semua ini tak jadi.
“Di mana lagi Kekfa perlu cari Am. Bukan macam ni kan,” katanya lagi.
Difahamkan, proses bedah siasat akan mengambil masa sekitar empat jam di Hospital Shah Alam.
Proses pengurusan jenazah termasuk mandi, kafan dan solat akan dilakukan di Masjid Puncak Alam sebelum dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Puncak Alam hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor, mengesahkan satu mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang kira-kira jam 7 malam semalam adalah Nidza Afham atau nama lengkap, Nidza Afham Mokhtar, 23.
Sebelum ini, media melaporkan, Nidza Afham dipercayai keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangannya disedari pada jam 9 malam, kelmarin.
Adiknya, Afrina Hanie mendakwa kehilangan abangnya berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai, manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet tidak terusik ketika ditemui di atas Jambatan Sungai Klang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

