PENYANYI, Azharina Azhar, terus melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai salah seorang penerima anugerah dalam majlis 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026.
Pengiktirafan ini diberikan sebagai menghargai kepimpinan, semangat juang yang tinggi, serta sumbangan berterusan beliau terhadap pemerkasaan wanita dan komuniti di Malaysia.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara itudisempurnakan oleh tetamu kehorma, Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan BCM.

Apa yang menarik perhatian, Azharina merupakan satu-satunya wakil daripada industri hiburan yang menerima pengiktirafan tersebut, sekali gus membuktikan bahawa peranan anak seni kini mampu memberi impak sosial yang besar di luar skop hiburan semata-mata.
Pemilihan Azharina bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan rekod prestasinya yang aktif dalam pelbagai platform kepimpinan.
Terdahulu, pelantun lagu Elegi Sepi itu pernah dipilih sebagai ahli panel dalam persidangan sulung ASEAN Women’s Conference on Best Practices (AWCOBP) 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Penglibatan di peringkat serantau itu telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai wanita berpengaruh yang membawa suara positif kepada masyarakat.
Dalam ucapannya yang penuh emosi, Azharina melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas penghormatan yang diberikan oleh pihak penganjur, IKSnita.
Baginya, anugerah itu bukan sekadar trofi, tetapi satu tanggungjawab besar untuk terus menyuntik semangat kepada kaum hawa.
“Saya amat bersyukur dan terharu menerima penghargaan ini.
“Kepada semua wanita di luar sana, jangan mudah mengalah. Teruskan berusaha dan kekal positif walau apa pun cabaran yang dihadapi.
“Percayalah, setiap langkah dan usaha kita ada makna dan potensi yang besar,” katanya.

Azharina turut menekankan kejayaan sebenar bukanlah diukur melalui pencapaian peribadi sahaja, sebaliknya bagaimana kejayaan itu dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling, terutamanya generasi muda.
“Saya harap dengan penghargaan ini, saya dapat menyuntik inspirasi dan keyakinan kepada wanita di luar sana agar terus melangkah, berani bermimpi dan tidak mudah putus asa,” tambahnya lagi.
Dia menyifatkan aura positif adalah ‘senjata’ utama bagi setiap wanita untuk mendepani cabaran ekonomi dan sosial pada masa kini.
Di sebalik kejayaan tersebut, Azharina tidak lupa merakamkan penghargaan kepada pasukan profesionalnya termasuk Azharina Entertainment, pereka fesyen Nik Hafiz dan Anaff Maspur, serta jurusolek Ashy Reef yang sentiasa memastikan penampilannya memukau.
Azharina turut menitipkan penghargaan istimewa kepada kelab peminat setianya, Azharina Angels, yang sentiasa berdiri teguh di belakang kerjaya seninya selama ini.
Namun, tumpuan utama ucapannya adalah kepada dua putera tercinta, Rahmat dan Redha, yang disifatkan sebagai sumber kekuatan utama dan inspirasi hidupnya setiap hari.
Pengiktirafan di majlis 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026 ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak penglibatan Azharina dalam aktiviti kemasyarakatan dan kepimpinan pada masa hadapan, sekali gus memecah stigma terhadap kemampuan anak seni dalam menerajui perubahan sosial.

