Kopi atau teh? Tidak perlu pening membuat pilihan kerana Sabah cukup terkenal sebagai destinasi agropelancongan yang menghasilkan gabungan minuman paling aromatik.
Di sebalik keunikan alam semulajadi, hidupan liar, aktiviti pengembaraan dan tarikan pulau di Sabah, budaya kopi negeri di bawah bayu ini merupakan hirupan secangkir Kopi Tenom panas di waktu pagi sebagai pemula hari. Di sini, terletak daerah Tenom yang sangat terkenal dengan penghasilan biji kopi Robusta.
Yit Foh ialah jenama kopi yang terkenal dari Sabah yang ditanam, dituai, dipanggang menggunakan kayu api, dikisar dan dibungkus secara tempatan. Sebagai perintis industri kopi, Taman Kopi Yit Foh di Kampung Chinta Mata, Tenom, Sabah kini bukan sekadar kilang kopi namun ia telah berkembang menjadi sebuah destinasi pelancongan yang popular selain mempunyai kemudahan tempat penginapan yang selesa.
Dan Ranau, kawasan utara pantai barat cukup terkenal dengan Teh Sabah, satu lagi minuman ikonik di sini.
Ladang Teh Sabah merupakan salah satu daripada beberapa ladang teh organik di dunia. Daun Teh Sabah yang terbaik, dituai dari kaki Gunung Kinabalu yang terletak kira-kira 2,272 kaki dari paras laut. Suhu yang dingin di kawasan tanah tinggi seperti musim bunga, membolehkan hasil kualiti tuaian Teh Sabah yang banyak dan segar.
Meskipun tanpa sebarang pewarna tambahan dan bebas semburan kimia, Teh Sabah cukup kaya dengan rasa. Pucuk daun pokok teh Camelia Sinesis dipilih dengan teliti, dituai dan diproses untuk menghasilkan teh hitamnya. Apabila dibancuh dengan susu pekat, gabungan ini akan menghasilkan minuman Teh Tarik Sabah yang cukup enak.
Teh Sabah juga menawarkan pelbagai pilihan teh yang inovatif. Minuman teh pandan Sabah dan kuih lempeng buatan sendiri adalah antara menu yang paling laris di restoran mereka.
Seperti Yit Foh, Ladang Teh Sabah juga memiliki sebuah resort yang dinamakan Sabah Tea Resort. Sabah Tea Resort memberikan kemudahan kepadapengunjung untuk menikmati percutian yang santai disamping menikmati pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan.
Tetamu yang bermalam mempunyai pilihan untuk menginap di rumah panjang, kabin, banglo atau bagi mereka yang gemar membuat stargazing dan tidur di bawah bintang, malah kawasan ini mempunyai tapak perkhemahan yang luas.
Selain menyeronokkan, lawatan ke ladang teh juga memberikan manfaat pendidikan dengan mengajar pengunjung cara pemprosesan daun teh. Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti rekreasi di kawasan rekreasi Sapaon, mendaki denai ke puncak Bukit Kamunsu, atau ‘night walk’ untuk memerhati serangga yang unik. Rumah pokok yang terletak bersebelahan dengan restoran dan ladang rusa juga dibuka untuk pengunjung.
Ladang Teh Sabah juga merupakan titik bersejarah yang penting dalam sejarah Perarakan Maut Perang Dunia Kedua. Pakar telah mengesan laluan Sandakan Death March dan mendapati bahawa laluan yang dilalui oleh tawanan perang (POW) melintasi kawasan yang kini dikenali sebagai Ladang Teh Sabah. Apabila menyedari kepentingan sejarah tapak tersebut, pengurusan Ladang Teh Sabah telah membina sebuah tugu peringatan.
Matta Fair yang bakal berlansung pada bulan September akan menghimpunkan kedua-dua tarikan dan mempamerkan minuman ikonik mereka dari Sabah. Taman Kopi Yit Foh, Tenom dan Ladang Teh Sabah akan ditampilkan sebagai pempamer di Zon Sabah sebagai tempat tarikan pelancong yang terkenal, seterusnya mempertingkatkan kehadiran negeri Sabah di Matta Fair edisi ini sebagai destinasi pilihan bersama negeri Sarawak untuk ‘Discover Borneo: Malaysia’s Favourite Destination’