LEBIH sedekad dalam industri muzik, kumpulan Drama Band yang mula ditubuhkan pada 2010 ini masih popular sehingga kini menerusi karya yang hebat dan terbukti masih menerima sambutan luar biasa.
Kumpulan yang terdiri dari enam anggota ini terlebih dahulu pernah tersenarai sebagai salah seorang finalis dalam Anugerah Juara Lagu pada edisi 30 dan 34 menerusi lagu hits mereka Biarkanlah dan Drama.
Pengiktirafan ini sekaligus merupakan sebuah batu loncatan bagi Drama Band mengeluarkan album sulung mereka berjudul ‘Drama’ yang memuatkan 21 lagu dalam album tersebut buat peminat yang tak henti menyokong mereka sejak dari dahulu hingga kini.
Memahat nama sebagai seorang kumpulan muzik yang kekal relevan hingga kini, jenama Drama Band yang sinonim dengan single isu sosial yang berlaku ini diteruskan dengan lagu FYP menggambarkan tentang kehidupan dalam era digital dan menyindir obsesi masyarakat kini yang mahukan perhatian demi mengejar populariti.
Masih mengekalkan genre yang sama, lagu FYP ini merupakan antara trek yang diambil dari album Drama hasil ciptaan sepenuhnya oleh Juara sulung The Hardest Singing Show yang juga merupakan vokalisnya sendiri iaitu Aepul Roza.
Perjalanan karier muzik Drama Band membuahkan hasil apabila mereka berjaya melakukan jelajah konsert sulung ‘Malam Drama’ sejak Mac lalu.
Respon luar biasa diterima sejak di lokasi pertama yang habis dijual telah membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan siri jelajah di lokasi Perak, Johor dan Melaka.
Kemenangan sulung Aepul menerusi program The Hardest Singing Show yang lalu membuka ruang dan peluang seterusnya untuk mereka menganjurkan konsert ‘The Hardest Malam Drama’ yang berskala besar pada 5 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur bagi menutup jelajah siri Konsert Malam Drama pada tahun ini.
Penjualan tiket sudah mula dijual di laman web Ticket2u.com.my.
Konsert ini bukan sekadar sambungan kepada legasi konsert ‘Malam Drama’ tetapi satu manifestasi epik yang akan menyatukan semua karya unggul Drama Band sejak mereka mula menggegarkan industri muzik tempatan.
Single FYP kini ini boleh didengarkan di semua pelantar digital muzik termasuk muzik video di YouTube MVM Music.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

