DUA calon berada dalam senarai pendek Barisan Nasional (BN) untuk diketengahkan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Kluang 28 September ini.
Dua nama tersebut telah diperkenalkan dalam majlis pelancaran jentera Parti Amanah Negara (Amanah) di Kluang malam tadi.
Memetik laporan BH Online, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali memaklumkan, dua calon berkenaan adalah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah.
Sheikh Umar berkata, kedua-dua calon itu telah diperkenalkan Ketua Bahagian UMNO Kluang, Datuk Md Jais Sarday.
“Malam tadi, satu majlis pelancaran jentera Amanah membabitkan PRK DUN Mahkota telah dianjur di Lamanara Taman Idaman, Kluang dan disempurnakan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Dalam majlis itu, wakil-wakil pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor hadir memberikan sokongan kepada BN Johor.
“Pada masa yang sama, pimpinan UMNO Bahagian Kluang iaitu Ketua Bahagiannya, Datuk Md Jais Sarday mengetuai rombongan yang turut disertai Zainani dan Syed Hussien selain penyokong mereka.
“Semasa menyampaikan ucapan, Md Jais telah memanggil Zainani dan Syed Hussien ke atas pentas selaku individu yang disenarai pendek oleh UMNO Bahagian Kluang untuk dipilih oleh pimpinan Pusat sebagai calon PRK DUN Mahkota,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota di Johor adalah pada 28 September depan.
Sebagai rekod, Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.
Pada PRN itu, Sharifah Azizah meraih 16,611 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Taqiuddin Che Man dari Amanah, Mohamad Nor Lingan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Parti Warisan, Mohamed Noor Suleiman.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

