Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari GAMBAR: Abd Razak Aid

PAS tidak perlu mengumumkan post-mortem dalaman kepada media susulan kegagalan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu lalu.

Demikian reaksi Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai balasan kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kononnya Pas berada dalam penafian selepas Perikatan Nasional (PN) tewas pada PRK DUN Mahkota.

Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Fadhli berkata, Pas sentiasa percaya bahawa proses dalaman parti tanpa perlu ‘bergegar’ di media massa untuk semua urusan.

“Samalah ketika UMNO tewas tahun lepas di Kemaman dengan majoriti 37,220 undi, kami tidaklah meroyan untuk menagih komen daripada UMNO supaya membuat ulasan kenapa seorang (bekas) Panglima Angkatan Tentera boleh kalah di medan pilihan raya dengan majoriti teramat besar!.

“Jika Datuk mahukan komen ekoran PRK Mahkota, saya berikan komen, tahniah.

Baca artikel lain: Mahkota: Kerjasama UMNO-DAP luar biasa, PN kalah bukan luar biasa

“Ia seperti mana tahniah ketika UMNO menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dan kemudiannya gagal mengulangi kemenangan besar itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PN ada muhasabahnya, Pas sendiri bermuhasabah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, Mohd Puad yang juga Speaker DUN Johor menyifatkan Pas berada dalam penafian susulan kekalahan PN dalam PRK Mahkota, Sabtu lalu.

Mohd Puad turut mendakwa Pas yakin tidak memberi kesan kepada parti tersebut kerana kesan buruk hanya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada PRK Mahkota, Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah berjaya menumbangkan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.

Syed Hussien berjaya memperoleh 27,995 undi manakala Mohamad Haizan hanya meraih 7,347 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram