Benci betul kita dengan si gagak. Nampak saja burung hitam itu menghurung sampah dan bangkai, kita cepat-cepat halau. Kita tembak burung itu, lalu bergelimpanganlah ia di atas tanah.
Hairan… kenapa kita benci sangat pada burung hitam itu sedangkan ia datang untuk membantu kita melupuskan sampah sarap yang kita sendiri buat? Ia berebutkan bangkai sebelum bangkai itu membengkak dan menebarkan bau yang meloyakan. Salahkah si gagak?
Sayang, kita hanya melihat hitam dan hodohnya si gagak, hingga kita lupa untuk belajar tentang keistimewaan matanya yang amat tajam.
Belajarlah dari mata sang gagak yang cekap memilih buah. Matanya cuma nampak buah yang berkualiti tinggi manakala yang rendah kualitinya ditolak ke tepi. Itulah sebabnya masyarakat Arab menamakan kurma yang berkualiti tinggi sebagai tamrat al-ghurab – kurma gagak.
Belajarlah juga dari sifat survival burung hitam itu. Selepas telur ditetaskan, ibu gagak meninggalkan anak-anaknya yang masih menciak-ciak itu terkontang-kanting. Kalau burung lain tentu sudah mati kelaparan tapi tidak si anak gagak yang cukup kuat semangatnya. Ia terus hidup dengan memakan semut dan serangga yang sebenarnya datang ke sarang itu untuk membunuhnya.
Berterima kasihlah juga kepada si gagak kerana mengajar kita menghormati mayat. Jika tidak kerana burung hitam itu, mungkin Qabil akan terus merayau ke sana ke mari tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan mayat adiknya, Habil, yang telah dibunuh.
Tanpa tunjuk ajar si gagak itu, mungkin pada hari ini kita akan membiarkan saja mayat bergelimpangan di atas tanah, atau mengnyahkannya dengan dihumban ke dalam sungai dan laut.
Besar sungguh jasa si gagak, tapi kita terus juga membencinya.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

