TIGA ekor kucing – jantan, betina dan seekor anak – tinggal di pinggir hutan selepas dibuang tuannya. Yang jantan digelar Hitam, si betina Putih, manakala anaknya, Tompok.
Sewaktu berehat di bawah sepohon mempelam suatu petang, Hitam bercerita pada Putih tentang Rumah Seribu Cermin.
“Ramai betul orang ke rumah itu,” kata Hitam. Tompok yang duduk di belakang pasu hanya membisu.
“Ada yang kata tempat tu ajaib…” tambah Hitam.
“Ajaib?” terpacul tiba-tiba perkataan itu daripada mulut Tompok. Hitam dan Putih serentak memandang ke arah anak mereka itu.
“Tompok… jangan pandai-pandai pergi. Nanti ditangkap orang,” Hitam cuba menakut-nakutkan anaknya.
Tompok hanya menunduk tetapi jauh di sudut hatinya melonjak-lonjak mahu ke rumah itu. Dia ingin tahu apa yang ada di dalamnya. Benarkah rumah itu ajaib?

Hari berganti hari namun Tompok tidak dapat menahan keinginannya. Suatu hari dia benar-benar mendapat peluang apabila kedua-dua ibu bapanya tiada di rumah. Sambil berjalan Tompok mengiau-ngiau keriangan.
Dari jauh Tompok sudah dapat melihat bumbung rumah kecil itu. Dia berlari sambil menyanyi-nyanyi. Dari satu anak tangga ke satu anak tangga Tompok meloncat-loncat.
Menggunakan kepalanya dia menolak pintu. Untuk seketika dia tergamam apabila melihat 1,000 kucing sedang tersenyum menyambut kedatangannya. Apabila Tompok mengangkat tangan untuk menyapa, 1,000 kucing turut mengangkat tangan membalas lambaiannya.
Terlalu suka, Tompok menari-nari dan melompat-lompat kegembiraan. Setiap kali dia berpusing dan melonjak, kucing yang ada di sekelilingnya juga mengikut aksinya. Dia tersenyum dan kucing yang lain membalas senyumannya penuh mesra. Tompok meninggalkan rumah itu dengan perasaan cukup riang.
“Inilah tempat paling menakjubkan. Aku akan datang lagi,” Tompok bercakap sendirian sewaktu menuruni anak-anak tangga. Sedang asyik menari-nari, tak sengaja dia tersepak kaki Belang, kawan sekampungnya.
“Tak nampak ke?” Belang menengking.
“Maaf, tak nampak. Maaf ya Belang!” Tompok merayu, tetapi Belang nampak berang. Dia langsung tidak hiraukan rayuan Tompok.
Belang meninggalkan kawannya itu terpinga-pinga. Tiba di hadapan pintu, Belang menjeling Tompok dengan sombong, tetapi anak kucing itu hanya tersenyum walaupun Belang merenungnya dengan benci.
Diselubungi perasaan angkuh, marah dan benci, Belang menolak pintu. Dia menjengah ke dalam rumah. Tiba-tiba 1,000 ekor kucing bermuka garang menyergah Belang.
Belang geram dan marah apabila disergah. Tanpa berfikir panjang dia menyergah balik kucing itu sambil tangannya ditampar-tamparkan ke udara seperti mahu mencakar lawannya.
Sesungguhnya Belang tidak menduga semua perbuatannya itu dibalas balik 1,000 kucing di rumah itu. Apabila dia marah kesemua kucing itu akan memarahinya semula.
Kemudian Belang mengejek kucing sombong yang berada di sekelilingnya. Ejekan itu dibalas pula dengan tindakan yang sama. Benci melihat kucing-kucing yang sombong itu, Belang terus berlalu. Sewaktu menuruni anak tangga dia berazam tidak akan menjejakkan kaki ke rumah itu.

“Hai Belang!” tiba-tiba Tompok menyapa Belang dari bawah pokok sena di tepi jalan.
Belang terkejut melihat Tompok masih boleh tersenyum dan menegurnya walaupun sebentar tadi dimaki dan diherdiknya. Dia lihat tidak ada perubahan langsung pada riak muka kawannya itu. Malah bergurau dan tersenyum.
Dia berjalan ke bawah pokok sena mendapatkan Tompok. Muka Belang masam dan nampak berkerut-kerut.
“Aku peliklah tengok kau, dah masuk rumah yang dahsyat tu kau boleh senyum lagi,” Belang mula bersuara.
“Rumah dahsyat? Apa yang kau cakap ni Belang? Bagi aku itulah rumah yang paling hebat pernah aku masuk. Semua kucing yang ada di situ menyambut aku dengan tersenyum,” kata Tompok.
Tercengang Belang mendengar cerita Tompok, jauh berbeza daripada pengalamannya. Baginya berada di rumah cermin itu cukup menakutkan. Semua kucing di dalam rumah itu merenungnya dengan muka masam dan marah.
“Belang… kucing-kucing yang kau nampak dalam rumah tu adalah diri kau. Kalau kau masuk dengan muka masam dan marah, dinding rumah itu akan memantulkan wajah kau,” terang Tompok.
Belang terdiam mendengar nasihat kawannya dan dia tidak pernah terfikir bahawa kucing-kucing itu adalah sebenar dirinya.
“Patutlah muka kucing-kucing tu serupa dengan muka aku,” kata Belang kemalu-maluan.
* Begitulah hidup ini. Semua muka yang kita lihat setiap hari adalah cermin diri kita. Kalau kita murah dengan senyuman, orang lain pun akan sentiasa senyum pada kita. Sama juga halnya kalau kita sentiasa bermasam muka dan sombong dengan orang yang kita temui. Orang lain pun akan melakukan perkara yang sama pada kita.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

