KETUA Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bersama isteri dan anak antara 19 individu yang direman bagi membantu siasatan berhubung pengekploitasian termasuk pemerdagangan kanak-kanak.
Perintah reman selama tujuh hari dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin terhadap kesemua suspek berusia 25 hingga 65 tahun itu.
Mereka yang direman adalah 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.
Pada prosiding tersebut, kesemua suspek tidak diwakili peguam dengan permohonan reman dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua mereka akan dibawa dan ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Daerah Shah Alam.
Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Terdahulu media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan 19 suspek ditahan dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.
Mereka ditahan kira-kira pukul 5.40 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pagi tadi, tiga lelaki yang merupakan ahli kumpulan GISBH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual kepada kanak-kanak jagaan rumah amal di sebuah Madrasah Tahfiz di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, seramai 402 kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam serbuan Op Global di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 10 kanak-kanak juga dihantar ke rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapati mereka adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan autisme.
Pecahan jumlah mangsa adalah 202 lelaki dan 190 perempuan.
Proses saringan kesihatan telah dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dengan bantuan JKM dan Kementerian Kesihatan.
Seramai 159 individu telah ditangkap membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

