Pada awal tahun 2007, penduduk di wilayah Ratanakiri di Kemboja, dikejutkan dengan kehadiran seorang ‘gadis hutan liar’ yang muncul dari kawasan hutan berdekatan. Gadis dalam keadaan kotor, bertelanjang dan berjalan seperti monyet itu ditemui seorang petani.
Seorang lelaki berusia 45 tahun bernama Sal Lou dari kampung berdekatan tampil mendakwa gadis hutan itu ialah anaknya yang bernama Rochom P’ngieng (lahir tahun 1981) yang telah hilang pada tahun 1989 sewaktu menggembala kerbau di wilayah timur laut, berdekatan hutan tebal di sempadan Vietnam.
Sal Lou mendakwa, Rochom adalah anaknya kerana mendapati gadis itu mempunyai bekas luka pada tangan kanan, sama seperti anaknya yang telah lama hilang. Walaupun bagaimanapun, dia enggan melakukan ujian DNA untuk membuktikan gadis tersebut adalah anaknya.
Walau tidak dapat dibuktikan secara sah apakah gadis itu yang kemudian digelar ‘wanita hutan’ oleh penduduk setempat adalah anaknya yang hilang berbelas tahun yang lalu, Sal Lou sekeluarga tetap membawa Rochom tinggal di rumah mereka dan menjaganya.

Kisah wanita hutan ini mendapat liputan meluas bukan saja daripada media tempatan, tetapi juga dari luar negara. Kemunculannya dalam keadaan kotor tanpa seurat pakaian dari dalam hutan tebal yang terletak di timur laut Kemboja itu turut menarik perhatian pelbagai agensi pertubuhan, termasuk golongan pengkaji dan ahli akademik.
Seorang penyelidik psikologi, Hector Rifa mendapati Rochom tidak mempunyai masalah psikologi sebaliknya gadis itu dikatakan mengalami gangguan perkembangan otak hingga menyebabkan dirinya tergolong sebagai manusia liar.

Pada awal proses pemulihannya setelah dibawa tinggal di rumah Sal Lou, Rochom dikatakan sering menjerit dan mengeluarkan suara seperti haiwan. Dia kerap kali cuba menanggalkan pakaiannya, malah banyak melakukan cubaan untuk melarikan diri ke dalam hutan.
Walaupun diajar banyak kali, Rochom sukar menyesuaikan diri untuk hidup sebagai manusia normal. Apabila dia haus atau lapar, dia hanya akan menunjukkan tangannya ke perut atau mulut. Malah, wanita hutan ini lebih suka berjalan merangkak daripada berjalan tegak lurus seperti manusia biasa.

Apa yang pasti, gadis hutan itu tidak pernah bercakap walau telah diajar berkali-kali. Itu pun dalam jagaan keluarga ini, beberapa kali juga Rochom berjaya melarikan diri, namun ditemui semula. Ada juga yang dia lari namun beberapa hari kemudian pulang semula ke rumah.
Pada Julai 2008, Radio Free Asia melaporkan Rochom sudah mampu makan, mandi dan memasang bajunya sendiri tanpa bantuan orang lain. Namun, masih belum juga bercakap. Lagi satu, gadis ini lebih suka tidur di dalam reban ayam berbanding di dalam rumah.
Ayah Kandung Muncul
Pada tahun 2013, Sal Lou meninggal dunia. Rochom terus dijaga oleh ahli keluarga Sal Lou. Keadaan gadis itu masih begitu, terus tenggelam dalam dunianya sendiri dan tidak mampu bertutur.
Sehinggalah pada Julai 2016, keadaan berubah apabila seorang lelaki berusia 70 tahun bernama Peo dari wilayah Gia Lai di Vietnam, muncul dan mendakwa wanita hutan ini ialah anak perempuannya yang telah lama hilang, bernama Tak.
Menurut Peo, anaknya perempuannya itu hilang pada tahun 2006 dan mempunyai masalah kesihatan mental sejak dilahirkan.
Bagaimana Peo boleh mengesan anaknya ini? Hanya setelah dia melihat satu paparan di Facebook yang meletakkan gambar wanita hutan ini, serta merta Peo mengetahui itu adalah anaknya yang telah lama hilang.
Malah, Peo dengan mudah mampu mengenali tanda-tanda pada anaknya itu iaitu tahi lalat pada bibir, parut di pergelangan tangan kiri dan bentuk telinga.

Tidak menunggu lama, Peo telah datang ke Kemboja menemui keluarga yang menjaga anaknya itu. Setelah selesai urusan berkaitan paterniti dan pihak kerajaan meluluskan permohonannya, wanita hutan ini diserahkan kepada Peo dan dibawa pulang ke pangkuan keluarga sebenarnya di Vietnam.
Setelah hampir 10 tahun dijaga keluarga angkat dengan panggilan Rochom, akhirnya wanita hutan bernama Tak ini bersatu semula dengan keluarga kandungnya. Malah, Peo turut membayar keluarga angkat Tak di Kemboja sebanyak AS$1,500 kerana telah menjaga anaknya sepanjang tempoh tersebut.
Akhirnya, terbongkar juga persoalan mengapa wanita hutan ini tidak boleh bertutur, yang banyak membingungkan pengkaji sebelum itu. Rupa-rupanya, ia adalah keadaan semulajadinya begitu, kerana sejak lahir, Tak memang tidak pernah bercakap. Itu yang diberitahu bapa kandungnya!

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

