Generasi muda hari ini terutama orang Perak, pasti ramai tidak tahu suatu ketika dahulu pernah wujud budaya unik dikenali sebagai ‘nikah panjat rumah’ di kawasan Perak tengah.
Tradisi ini pernah wujud zaman dahulu di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, Perak. Menurut kisah legenda menceritakan, suatu ketika dulu ada seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang wanita. Namun hajatnya tidak kesampaian.
Ini kerana setiap kali dia masuk meminang, keluarga wanita itu menolaknya. Pelbagai alasan diberikan oleh bapa wanita agar lelaki itu tidak meneruskan hajatnya untuk berkahwin dengan anaknya.
Oleh sebab terlalu ingin memperisterikan wanita itu, lelaki berkenaan mengatur strategi peminangan baru iaitu dengan menyerbu rumah perempuan itu bersama rombongan peminangan untuk membuktikan kesungguhannya yang mahu berkahwin dengan gadis yang dicintainya. Rancangan meminang ini diketuai oleh seseorang yang dihormati di kampung tersebut.
Suatu senja, rombongan ini pun memulakan strategi itu. Apabila bapa si gadis membuka pintu rumahnya yang diketuk, si lelaki menyerbu naik ke rumah sambil menyerahkan sebilah keris lalu berkata : “Ayah mertua, saya serahkan keris ini kepada ayah dan andaikanlah saya seperti sehelai kain putih. Buatlah corak yang ayah inginkan dan saya serahkan diri saya kepada ayah”.
Sejurus kemudian, seorang demi seorang anggota rombongan akan naik ke rumah untuk memulakan urusan peminangan. Ketua rombongan akan memujuk bapa gadis itu untuk menerima lelaki berkenaan sebagai menantu. Walaupun dengan berat hati, namun atas rasa hormat kepada ketua rombongan, lelaki itu dinikahkan pada malam itu juga.
Dikatakan bermula dengan kisah inilah, tradisi unik kemudian berkembang menjadi budaya yang diberi nama nikah panjat rumah.

Menurut salah seorang penduduk Kampung Teluk Bakong bernama Ariffin Saidin yang pernah kami temubual dahulu, budaya nikah panjat rumah ini adalah tradisi yang pernah diamalkan penduduk di sekitar kawasan Lambor.
Ia sebenarnya satu penyelesaian untuk memudahkan urusan pernikahan tanpa melukakan hati keluarga. Jadi secara tersiratnya, ia dapat mengelakkan pasangan kekasih berkahwin lari atau melakukan sesuatu yang menconteng arang ke muka keluarga kedua-dua pihak.
Zaman dahulu, masyarakat dalam sesebuah kampung itu amat berpegang kuat pada status dan kedudukan. Sesebuah keluarga itu dikelaskan mengikut pepatah berikut iaitu, enggang sama enggang dan pipit sama pipit. Justeru keadaan ini mencorakkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
Jelas Ariffin, adat ini dilakukan tanpa melalui proses merisik dan bertunang dan prosesnya berlangsung dengan cepat. Jadi sebelum utusan peminangan ini berkunjung ke rumah keluarga perempuan, mereka perlulah melakukan intipan untuk mengetahui keadaan rumah berkenaan. Segala pintu, tingkap dan ruang dalam rumah ini di kenal pasti terlebih dahulu.
Ini untuk memudahkan utusan ini melarikan diri sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Misalnya, jika bapa si perempuan tiba-tiba naik angin lalu menghalau mereka. Jadi langkah terbaik adalah keluar dengan cepat daripada rumah berkenaan.
Sebenarnya, urusan peminangan ini berlaku dalam keadaan rahsia, di mana keluarga si perempuan tidak tahu langsung mengenai keadaan ini. Apa yang menariknya, ketua rombongan akan memberi salam secara berseorangan dan ahli rombongan berserta si teruna akan menyorok di bawah rumah.
Sebaik sahaja salam disambut oleh tuan rumah dan pintu dibuka bagi menjemput tetamu masuk, sepantas mungkin si teruna akan memanjat tangga lalu mengucapkan dialog yang disebutkan seperti dalam cerita legenda itu. Selepas itu bermulalah proses adat nikah panjat rumah.
Perkara pertama yang dibincangkan adalah mas kahwin, hantaran dan tarikh pernikahan. Biasanya keluarga perempuan akan menetapkan mas kahwin dan hantaran yang tinggi.
Ia bertujuan untuk menolak secara sopan permintaan si lelaki itu. Tapi biasanya pihak lelaki akan bersetuju saja. Kemudian, barulah tarikh pernikahan ditetapkan. Biasanya, tarikh itu ditetapkan bermula daripada malam itu hinggalah seminggu atau dua minggu kemudiannya.
Lazimnya adat memanjat rumah dilakukan sebelah malam antara waktu solat Maghrib hingga Subuh. Selalunya waktu yang dipilih adalah senja. Ada juga yang datang sebelum waktu Subuh menjelang.
Mengikut kata Arifin, ramai penduduk kampung zaman dahulu menggunakan cara ini dan hampir kesemua pasangan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Mengikut catatan sejarah, adat ini dikatakan telah dibawa dari tanah seberang dan disesuaikan mengikut resam penduduk setempat.
Walau bagaimanapun, tradisi ini sudah tidak lagi dipraktikkan dan hanya menjadi sejarah bagi penduduk kampung Telok Bakong. Resam ‘nikah panjat rumah’ telah pupus ditelan zaman disebabkan perubahan zaman dan peralihan minda masyarakat generasi baru yang lebih bersifat terbuka dalam memilih pasangan hidup.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

