Projek Filem Alternativa, sebuah inisiatif filem global tanpa keuntungan yang diasaskan oleh syarikat teknologi antarabangsa inDrive, secara rasmi melancarkan edisi kedua Anugerah Filem Alternativa, yang akan diadakan di Yogyakarta, Indonesia pada 29 November.

Malaysia menduduki tempat ketiga teratas negara dengan penyertaan terbanyak, menyumbang sebanyak 58 penyertaan daripada 680 penyertaan yang layak (208 filem penuh dan 472 filem pendek). Penyertaan lain yang layak diterima dari Indonesia (206), Filipina (132), Vietnam (56), India (40), dan Thailand (40).

Panggilan terbuka untuk penyertaan bagi Anugerah 2024 ditutup pada 18 Ogos, dengan penerimaan sebanyak 1,043 penyertaan dari 33 negara, menggandakan jumlah yang diterima tahun lalu.

Liza Surganova, Ketua Projek Filem Alternativa, berkata anugerah ini menarik minat luar biasa komuniti pembuat filem di Asia Tenggara.

“Kami sangat gembira dan berbesar hati melihat peningkatan yang besar dalam jumlah penyertaan pada tahun kedua Anugerah ini. Ini menunjukkan minat yang luar biasa terhadap projek kami dari komuniti pembuat filem, terutamanya di Asia Tenggara. Tahun ini, kami juga menambah Festival Filem sebagai sebahagian daripada acara Anugerah untuk menghubungkan pembuat filem dan filem berimpak mereka bersama para penonton, serta memulakan perbincangan awam mengenai isu-isu yang menjadi kebimbangan semua,” katanya.

Dalam pada itu, Kanat Nogoibayev, Pengurus Kanan Komunikasi (Kelestarian), inDrive, menyampaikan kesungguhan inDrive terhadap isu sosial di mana misi ini memberi impak positif kepada komuniti seluruh dunia.

“inDrive telah berusaha di barisan hadapan dalam menangani ketidakadilan sosial di mana sahaja kami boleh. Perniagaan kami berkembang pesat dengan misi untuk memberi impak positif kepada komuniti di seluruh dunia, termasuk Malaysia dan Indonesia. Untuk tujuan ini, kami mencipta hab yang dipanggil inVision, bagi mencabar pengagihan sumber yang tidak adil dalam pendidikan, industri kreatif, syarikat pemula, dan sukan dengan menjadikan bidang-bidang ini boleh diakses oleh semua, dan Projek Filem Alternativa adalah sebahagian penting daripadanya.”

Dalam masa yang sama, Yow Chong Lee, Ahli Jawatankuasa Anugerah Filem Alternativa dari Malaysia, yang juga merupakan pensyarah filem di Universiti Malaysia Sarawak percaya filem-filem Malaysia mempunyai kelebihan unik dalam menyampaikan cerita yang penting sambil menarik perhatian penonton secara mendalam.

“Banyak filem yang saya cadangkan untuk penyertaan ke Alternativa mengimbang seni, hiburan, dan mesej yang berkesan — kombinasi yang jarang dan berkuasa. Saya teruja untuk melihat bagaimana filem-filem ini diterima, bukan sahaja oleh pengunjung festival di Indonesia tetapi juga oleh penonton global. Filem-filem ini menangani isu-isu kontemporari seperti kesan media sosial, kebimbangan alam sekitar, inklusiviti, dan kepelbagaian melalui pendekatan segar dan inovatif yang boleh dihargai secara universal,” katanya,

Menjelang Majlis Anugerah tersebut, beberapa aktiviti utama akan diadakan seperti Festival Filem (22-28 November) iaitu yayangan umum percuma filem-filem yang dicalonkan serta perbincangan mengenai isu-isu sosial dan budaya.

Industry Days (27-28 November) di mana program khusus yang merangkumi bengkel, pameran, dan perjumpaan bersama para profesional dalam industri filem. Sesi-sesi ini akan menggalakkan kerjasama antara pembuat filem, penerbit, dan organisasi berimpak untuk mengukuhkan hubungan antara filem dan perubahan sosial.

Anugerah Filem Alternativa menawarkan platform unik untuk mengiktiraf pembuat filem dari industri yang sedang membangun, bertujuan memberi pendedahan global kepada mereka yang belum mendapat pengiktirafan meluas. Ia menghargai kedua-dua merit artistik dan kesan sosial dalam dunia sinema. Susulan kejayaan acara sulung tahun lalu di Kazakhstan, edisi tahun ini memperluaskan fokusnya kepada Indonesia dan Asia Tenggara.