Gangguan lantai pelvis disebabkan oleh otot di lantai pelvis semakin lemah atau ligamen dan tisu menjadi lemah atau rosak.
Baru-baru ini salah seorang pesakit saya berkata “Bukan mudah menjadi seorang wanita,” setelah berjumpa saya untuk mengadu tentang masalahnya berkaitan kencing tidak terkawal dan kesakitan di dalam pelvis.
Setelah melakukan pemeriksaan, saya dapati pesakit mengalami penurunan (prolaps) pundi kencing dan uterus di mana pundi dan uterus telah jatuh ke vagina.
Ini disebabkan oleh gangguan di lantai pelvis, di mana otot-otot di lantai pelvis telah menjadi lemah. Keadaan ini sangat biasa di kalangan wanita, dengan satu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan satu daripada tiga wanita mengalami masalah lantai pelvis.
Wanita cenderung mendapat gangguan lantai pelvis disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kehamilan dan kelahiran. Keadaan ini boleh menjadi kesan negatif kepada kualiti hidup seseorang wanita tetapi boleh dirawat dan dicegah.
Apa itu lantai pelvis?
Ia mungkin kedengaran aneh jika terdapat ‘lantai’ di dalam badan anda. Lantai pelvis sebenarnya adalah satu rangkaian otot-otot, ligamen dan tisu-tisu yang membentuk asas untuk menyokong organ-organ pelvis seperti uterus, vagina, pundi,uretra dan dubur.
Gangguan lantai pelvis disebabkan oleh otot-otot tersebut menjadi lemah atau ligamen dan tisu menjadi renggang atau rosak. Apabila ini berlaku, ia tidak mampu untuk menyokong organ-organ pelvis seperti pundi kencing, uretra, usus kecil, dubur, uterus atau vagina yang boleh jatuh atau terkeluar daripada vagina. Jika keadaan semakin teruk, organ-organ ini mungkin berterusan terkeluar melalui pintu vagina dan di luar badan.
Wanita yang telah melahirkan anak secara normal lebih cenderung mengalami otot lantai lemah atau regangan dan risiko itu semakin meningkat pada setiap kelahiran. Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan adalah kurang berisiko mendapat masalah gangguan lantai pelvis.
Terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada gangguan lantai pelvis seperti kegemukan, batuk yang kronik dan mengangkat barang berat. Wanita yang mengalami masalah saraf lantai pelvis atau tisu pelvis yang lemah, kecederaan atau ketumbuhan juga berisiko tinggi mewujudkan simptom masalah lantai pelvis.
Ketahui simptom
Gangguan lantai pelvis meliputi pelbagai keadaan bergantung pada organ yang terjejas. Umumnya, ia disifatkan sebagai satu perasaan berat atau tekanan dalam vagina yang disebabkan oleh prolaps pundi, uterus atau dubur. Organ rahim jatuh juga disebabkan oleh gegala-gejala lain seperti incontinence (masalah mengawal urin) kesakitan atau pendarahan.
Jika otot-otot yang menyokong dubur menjadi lemah, ia akan menyebabkan dubur jatuh yang dinamakan rectocele. Keadaan ini akan menyebabkan kesukaran dalam pergerakan usus, seakan-akan masalah sembelit.
Enterocele adalah apabila usus kecil dan lapisan rongga abdomen terkeluar antara vagina dan dubur. Ini disebabkan oleh pelemahan tisu perantara dan ligamen yang menyokong uterus.
Wanita yang mengalami masalah ini akan berasa tekanan, atau kesakitan di dalam pinggul. Kadangkala, pelemahan tisu-tisu boleh menyebabkan pundi jatuh dan terkeluar pada dinding depan vagina. Ini boleh menyebabkan terkencing tidak sengaja apabila batuk, ketawa atau apa-apa Tindakan yang meningkatkan tekanan pada abdomen (dipanggil stress incontinence) atau apabila pundi menjadi terlalu penuh (dipanggil overflow incontinence)
Jika saraf-saraf pundi atau uretra menjadi rosak, seseorang wanita mungkin akan mengalami kesakitan yang amat sangat dan tidak dapat menahan urin. Walaupun selepas pengencingan, pundi mungkin tidak berasa kosong.
Gangguan lantai pelvis juga boleh mengakibatkan prolaps pada uterus, yang mana ia boleh terkeluar di bahagian atas vagina, bahagian tengah atau terus melalui pintu vagina.
Keadaan ini mungkin akan menyebabkan kesakitan di bahagian bawah atau atas tulang atau kesakitan semasa berjalan. Jika serviks itu terkeluar daripada vagina, kesakitan akan berlaku dan menyebabkan pendarahan, lelehan dan jangkitan.
Kadangkala, vagina mungkin juga prolaps, di mana bahagian atas vagina jatuh ke bawah di dalam vagina. Ini hanya berlaku pada wanita yang telah melakukan histerektomi. Keadaan ini akan menyebabkan kesakitan semasa duduk atau berjalan atau kesakitan yang serius.
Semua gejala di atas berkaitan dengan prolaps organ yang merujuk kepada apabila wanita berdiri tegak, ketegangan atau batuk. Apabila anda berbaring atau berehat, simptom ini akan hilang.

