PEMENTASAN teater Dang Anum (The Untold Story) (DATUS) oleh Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) yang di jadualkan berlangsung di Johor dan Melaka terpaksa digugurkan susulan kurang penajaan dari segi kewangan.
Pengarah dan penulis skrip, Amirul Haswendy Ashari, 45, berkata, pihaknya telah berusaha mencari penajaan, termasuklah menghantar surat rayuan kepada urusetia Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyemak semula dana yang telah diluluskan sebelum ini.

“Namun apakan daya, jawapan yang diterima dari GSSK agak mengecewakan. Pun begitu, kami tidak patah semangat dan reda dengan keputusan itu.
“Sebab difahamkan ada juga kumpulan lain yang turut berdepan isu sama, dan situasi ini sememangnya asam garam dalam dunia teater tempatan,” katanya kepada URTV.
Amirul turut mendedahkan jualan tiket dari DATUS sahaja tidak mencukupi untuk menampung kos keseluruhan pementasan di negeri-negeri lain.
The Redholah memerlukan sekurang-kurangnya RM250,000 untuk menampung segala kos pementasan di Putrajaya, Melaka, Johor Bahru dan rakaman dokumentari khas di Batam serta Riau, Indonesia.
“Memang agak berat untuk melepaskan jerayawara ke Melaka dan Johor Bahru sebab sejujurnya memang ada permintaan.
“Mungkin belum ada rezeki buat kami pada tahun ini. Doakan semoga kami dapat tunaikan ‘hutang’ ini pada tahun depan,” ujarnya.

Setakat ini DATUS menerima sokongan kerjasama dari Kolej Seni Kreatif, UiTM Puncak Perdana, selain tajaan 700 paket gula dari MSM.
Malah beberapa rakan artis seperti Hairul Azreen dan isteri, Hanis Zalikha telah sudi menaja tiket korporat untuk pelajar sekolah.
DATUS dipentaskan sejak semalam sehingga Ahad ini, 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin (Cempaka Sari), Putrajaya.
Antara pelakon adalah Adam Shahz, Ain Sufia, Along Eyzendy, AG Hafiz, Karl Dannish, Aman Salleh, Md. Husin dan Affan Mohd.
Tiket pementasan boleh dibeli melalui www.ticket2u.com atau secara ‘walk-in’.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

