INDUSTRI perfileman tempatan pastinya sudah cukup sinonim dengan sentuhan magis penerbit prolifik berbangsa Cina seperti Mejar (K) David Teo yang banyak melahirkan karya pecah panggung.
Kini, pentas layar perak bakal menyaksikan kebangkitan seorang lagi usahawan berwawasan, Goh Kean Hon yang berani mengambil risiko melabur dalam pembikinan filem komedi Melayu terbaharu berjudul The Real Mamu.
Tampil selaku Pengarah Urusan Z & K Creative Sdn Bhd, Kean Hon bukan sekadar hadir sebagai penyumbang dana yang hanya memantau dari belakang tabir.
Sebaliknya, dia meletakkan sasaran komprehensif untuk menjadikan naskhah sulung ini sebagai instrumen dalam memajukan industri seni, di samping merancakkan kembali sektor ekonomi negeri kelahirannya.

“Niat utama saya melangkah ke arena ini adalah untuk menyumbang sesuatu yang signifikan kepada industri perfileman tanah air, dan secara lebih spesifiknya, untuk menabur bakti kepada masyarakat di Pulau Pinang,” katanya kepada URTV.
Meskipun The Real Mamu merupakan langkah pertamanya dalam pasaran perfileman komersial arus perdana, jiwa seninya bukanlah sesuatu yang baru dibentuk.
Dia sebenarnya mempunyai asas pendedahan yang agak kukuh dalam bidang persembahan ketika menuntut di menara gading suatu ketika dahulu.
“Kecintaan saya terhadap dunia seni pentas sudah mula bercambah sejak zaman pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) lagi. Pada waktu itu, saya banyak menghabiskan masa menyertai kelab drama dan bergerak aktif bersama kumpulan teater.
“Berbekalkan sedikit pengalaman asas seni itulah, apabila pihak penerbit iaitu Abdul Hafiz Abdul Halim dan Zulkifli Abu Hassan datang membentangkan tawaran dan peluang keemasan ini, saya melihat potensi besarnya lalu terus bersetuju tanpa berfikir panjang,” jelasnya.
Menyedari jalan cerita The Real Mamu yang begitu sarat dengan elemen kehidupan di Pulau Mutiara, ia dilihat sebagai platform terbaik buat Kean Hon mempromosikan warisan serantau ke peringkat yang lebih meluas.
Dia optimis bahawa filem adalah medium visual paling ampuh untuk menarik pelaburan luar.
“Naskhah ini amat dekat dengan Pulau Pinang, dan memandangkan saya juga merupakan anak jati sana, inilah peluang terbaik untuk saya membalas budi.
“Kita bukan sahaja mahu menghasilkan filem untuk tontonan, malah kita menyasarkan untuk membawa potensi pelancongan dan ekonomi negeri ini melonjak hingga ke mata dunia,” ulasnya.
Lebih mencuri tumpuan, komitmen Kean Hon mengatasi tugas hakiki seorang pelabur apabila beliau turut memberikan sentuhan kreatif secara langsung demi memastikan penceritaan filem berkenaan mempunyai ‘jiwa’ yang mampu menjentik emosi penonton.
“Daya penarik utama naskhah ini terletak pada pengisian kasih sayang kekeluargaan serta padat dengan pelbagai nilai murni yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
“Bagi memastikan objektif penceritaan itu benar-benar sampai, saya sendiri turut campur tangan dalam merombak sedikit susunan skrip agar struktur naratifnya lebih utuh dan mantap.
“Jika bercakap tentang kualiti persembahan, saya tidak ragu-ragu dengan kredibiliti nama-nama besar seperti Saiful Apek dan Didie Alias.
“Mereka memiliki aura komedi dan kekuatan profil yang tersendiri. Saya percaya sepenuhnya bahawa barisan pelakon popular yang telah diamanahkan ini akan memberikan komitmen lakonan pada tahap yang paling maksimum,” katanya.
Naskhah The Real Mamu menjanjikan sebuah karya santai yang menghiburkan dengan menampilkan gabungan bintang ternama merentas generasi.
Selain legenda komedi, filem ini turut dibintangi oleh Yassin Senario, Wan Raja, Kodi Rasheed, Wafariena Roslan, Risteena, Zalfa Zin, dan ramai lagi pelakon berbakat besar.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

