“Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan…”

Dari Penulis

Apabila diteliti semula fakta-fakta bagi setiap planet di dalam sistem suria, diapati hanya tiga planet yang telah ditemui oleh ahli astronomi. Planet Uranus telah ditemui oleh William Herschel, seorang ahli astronomi Britain pada 13 Mac 1781. Enam puluh lima tahun kemudian, planet Neptun ditemui oleh Johann Gottfried Galle, seorang ahli astronomi berbangsa Jerman pada 23 September 1846.

Selain daripada Johann Gottfried Galle, ada dua lagi nama yang sering kali dikaitkan dengan penemuan planet Neptun iaitu ahli-ahli matematik yang telah menjejak kedudukan planet Neptun secara matematik sebelum planet tersebut ditemui menggunakan teleskop oleh Johann Gottfried Galle. Dua nama itu ialah John Couch Adam dari Britain dan Urbain Jean Joseph Le Verrier dari Perancis.

Lapan puluh empat tahun selepas Neptun, planet Pluto pula telah ditemui daripada pemeriksaan ke atas plat-plat fotograf bintang oleh Clyde W. Tombaugh di balai cerap Lowell di Flagstaff, Arizona, Amerika Syarikat pada 18 Februari 1930.

Nama Inggeris bagi planet-planet di dalam sistem suria kita kecuali Bumi secara rasminya dinamakan dengan nama dewa-dewa atau tuhan-tuhan Greek dan Rom.

Mercury atau Utarid adalah nama bagi dewa pengembaraan (god of travel) bagi orang-orang Rom. Venus atau Zuhrah adalah nama bagi dewa kecantikan dan percintaan (god of love and beauty) Rom.

Mars atau Marikh adalah dewa peperangan (god of war) orang-orang Rom. Jupiter atau Musytari merupakan raja kepada segala dewa (king of the gods ) orang-orang Rom.

Saturn atau Zuhal merupakan dewa pertanian (god of agriculture) bagi orang-orang Rom. Uranus merupakan raja dewa-dewa (king of the gods) bagi orang-orang Greek.

Neptune atau Neptun adalah dewa laut (god of the sea) bagi orang-orang Rom. Pluto pula merupakan dewa dunia bawah (god of the underworld) bagi orang-orang Rom dan Earth atau Bumi adalah nama Inggeris atau Jerman yang bermaksud tanah. 

Sebelum penemuan Uranus, siapakah yang telah menemui planet-planet Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal? Jawapannya ialah masyarakat purba telah pun mengetahui dan mengenal pasti kewujudan planet-planet  tersebut seperti yang telah dicatatkan di dalam artifak-artifak purba Babylon dan beberapa tamadun kuno yang lain.

Begitu juga dengan nama-nama Inggeris yang rasmi bagi planet-planet dalam sistem suria pada hari ini sebenarnya merupakan penerusan kepada tradisi zaman silam, iaitu dengan mengambil nama dewa-dewa orang-orang Greek dan Rom untuk menamakan planet-planet yang baharu ditemui.

William Herscal cuba menamakan planet yang ditemuinya dengan nama Georgian Sidus bersempena dengan nama King George III. Walau bagaimanapun, ahli astronomi Johann Bode telah mencadangkan nama Uranus yang berasal daripada nama raja dewa orang-orang Greek,  iaitu Ouranos.

Planet Neptun pula pada asalnya telah dicadangkan dengan nama Janus oleh Johann Galle manakala di England pula, Challis mencadangkan nama Oceanus. Namun, akhirnya nama Neptune yang telah dicadangkan oleh Struve dari Akademi Sains Saint Petersburg telah diterima oleh komuniti sains amnya.

Planet Pluto pula pada asalnya sangat terkenal dengan nama Hades tetapi kemudiannya telah diberi nama Pluto yang bermaksud dewa dunia bawah orang-orang Rom. Nama tersebut telah diberikan oleh Venetia Burney, seorang kanak-kanak sekolah perempuan berusia 11 dari Oxford, England.

Si Planet Kerdil

Untuk sekian lamanya, komuniti saintifik telah berjaya mengenal pasti sembilan buah planet bagi sistem suria kita. Namun, pada 24 Ogos 2006, planet Pluto telah diklasifikasikan sebagai ‘planet kerdil’.

Selepas itu Pluto bukan lagi sebagai sebuah ‘planet’ kerana pentakrifan semula maksud perkataan planet oleh komuniti astronomi di seluruh dunia. Pentakrifan baru telah meletakkan Pluto di bawah kategori ‘planet kerdil’ iaitu sama taraf dengan asteroid Ceres dan beberapa objek trans-Neptunian yang lain seperti Makemake, Haumea dan juga Eris. 

Ini adalah kerana sejak tahun 1992, didapati semakin banyak objek-objek baharu dengan saiz hampir sama seperti Pluto telah ditemui berada di luar orbit planet Neptun.

Uranus & Neptun

Bermula daripada tarikh tersebut, sistem suria kita hanya mempunyai lapan buah planet sahaja iaitu bermula dari planet Utarid sehinggalah ke planet Neptun sahaja. 

Komuniti saintifik terus mencari planet setelah penemuan planet Uranus oleh William Herschel. Sejak Uranus ditemui, planet tersebut didapati telah mengalami gangguan orbit. Ada ketikanya, Uranus bergerak lebih pantas dan kadangkala ia bergerak lebih perlahan di atas orbitnya. Keadaan tersebut amat bertentangan dengan teori graviti yang telah diperkenalkan oleh Sir Isaac Newton pada tahun 1687. 

Pada sekitar tahun 1840-an, setelah 60 tahun planet Uranus mengalami gangguan semenjak ia ditemui, seorang ahli matematik Perancis, Urbain Le Verrier telah mencadangkan bahawa gangguan tersebut berkemungkinan disebabkan oleh daya tarikan graviti oleh sebuah planet yang sememangnya wujud di dalam sistem suria kita, tetapi kita masih belum lagi menemui planet tersebut.

Le Verrier telah meramal kedudukan planet tersebut dan meminta bantuan dengan menyerahkan kiraan matematiknya kepada ahli astronomi Jerman, Johann Gottfried Galle.

Pada 23 September 1846 iaitu sehari selepas mendapat kiraan matematik Le Verrier, Gottfried Galle bersama pelajarnya bernama Heinrich d’Arrest, telah menemui planet ‘pengganggu’ yang dicari-cari selama ini. Dan, ia berada betul-betul di kedudukan seperti yang telah dijangkakan oleh Le Verrier. Planet tersebut merupakan planet Neptun.

Planet Neptun telah ditemui akibat daripada kesan gangguan orbit yang telah dialami oleh planet Uranus. Walau bagaimanapun, penemuan Neptun itu hanya dapat menyelesaikan sebahagian sahaja daripada masalah planet Uranus, Bahkan, dalam masa yang sama planet Neptun juga turut mengalami gangguan orbit yang sama seperti planet Uranus.

Pada tahun 1894, Percival Lowell telah membangunkan balai cerap Lowell di Arizona sehinggalah pada tahun 1906, beliau berasa yakin akan dapat menyelesaikan masalah planet Uranus.

Lowell mula mencari sebuah planet di luar orbit planet Neptun yang dijangka telah memberi gangguan ke atas orbit Uranus serta menamakan planet tersebut sebagai ‘Planet X’, suatu istilah yang pernah digunakan oleh Gabriel Dallet sebelum itu.

Pada tahun 1915, Lowell telah menyimpulkan bahawa planet X dianggarkan seberat tujuh kali Bumi atau separuh daripada berat planet Neptun, jarak puratanya 43 A.U. Dianggarkan kira-kira 43 kali jarak Bumi ke Matahari, bersaiz besar dan berketumpatan rendah seperti planet Musytari, Uranus dan Neptun serta cukup cerah dan mudah dilihat.

Kerja-kerja Lowell telah diteruskan oleh Clyde Tombaugh sehinggalah pada tahun 1930 sehingga akhirnya Tombaugh telah menemui planet Pluto. Walau bagaimanapun, pada tahun 1978 iaitu selepas 48 tahun daripada penemuannya, jisim planet Pluto telah disahkan terlalu kecil untuk memberi kesan gangguan ke atas orbit planet Uranus dan juga Neptun.

Pencarian planet X seperti yang pernah dicadangkan oleh Lowell telah diteruskan lagi oleh komuniti astronomi di seluruh dunia dengan pelbagai cadangan saiz, orbit dan jisim oleh pelbagai pihak namun, planet X masih belum dapat lagi ditemukan sehingga ke hari ini.

Rupanya Salah Kira

Pada tahun 1992, E. Myles Standish telah menggunakan data daripada prob Voyager 2 yang pernah terbang menghampiri planet Neptun pada tahun 1989.

Kajian tersebut telah menunjukkan bahawa jumlah jisim Neptun adalah sebenarnya kurang sebanyak 0.5%. Apabila jisim Neptun yang baharu tersebut digunakan di dalam Jet Propulsion Laboratory Developmental Ephemeris (JPL DE) bagi mengira kesan graviti Neptun ke atas planet Uranus, kesan gangguan yang dikatakan mengganggu orbit Uranus didapati telah tidak wujud lagi selepas itu.

Standish mendapati bahawa pengiraan jisim planet Neptun yang kurang tepat adalah merupakan punca kepada seolah-olah wujudnya gangguan ke atas orbit planet Uranus dan juga orbit planet Neptun itu sendiri. Sejak daripada penemuan oleh Standish tersebut, usaha untuk mencari planet X telah dilupakan oleh komuniti astronomi. 

Walau bagaimanapun, masih ada sekumpulan kecil ahli astronomi yang masih menyimpan dan meneruskan semangat pencarian planet baharu di dalam sistem suria kita.

Pada tahun 2016, Konstantin Batygin dan Michael E. Brown telah menganalisis punca gangguan orbit yang telah dialami oleh enam objek trans-Neptunian termasuklah 90377 Sedna atau (2003 VB12), 2012 VP113, 2013 RF98, 2004 VN112, 2007 TG422 dan 2010 GB174.

Seperti yang pernah dilakukan oleh John Couch Adam dan Urbain Jean Joseph Le Verrier, maka Konstantin Batygin dan Michael E. Brown telah mencadangkan bahawa planet yang ke-9 bagi menggantikan Pluto yang telah lucut kategorinya daripada status sebagai sebuah planet kini sedang mengganggu enam objek trans-Neptunian.

Dinyatakan tadi dengan ciri-ciri – ianya sebuah planet berbatu dan berais sebesar dua hingga empat kali saiz Bumi dan mempunyai jisim 10 kali jisim Bumi serta mengelilingi Matahari dalam tempoh 15,000 tahun.

Adalah dipercayai bahawa planet ke-9 tersebut kini sedang berada pada jarak antara 600 hingga 900 Unit Astronomi dari Matahari. (1 unit Astronomi bersamaan dengan jarak Bumi ke Matahari iaitu 150,000,000 km).

Seperti firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran dalam Surah Yusuf ayat 4, “Ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku“.

Nabi Yusuf telah dikiaskan melihat 11 ‘bintang’ dan ada yang mentafsirkannya sebagai sebelas ‘planet’ dan ini sudah pasti akan menjadi motivasi yang cukup kuat bagi ahli astronomi terutamanya yang beragama Islam untuk menghuraikan maksudnya dengan sejelas-jelasnya. Wallahua’lam.

-MOHD ZAMRI SHAH MASTOR, Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This