FAZURA Studios dan syarikat rakaman Hits Record melancarkan single berjudul Bertahan Demi Cinta pada hari ini.
Lagu duet tersebut dinyanyikan oleh Nur Fazura dan Fattah Amin.
Lagu yang ditulis oleh komposer terkenal Ippo Hafiz ini telah dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada Januari lalu disusuli dengan pengambaran video muzik lagu tersebut yang telah dibuat di Yogyakarta, Indonesia pada Februari.
Malah, single tersebut turut dijadikan runut bunyi (OST) drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella 2 (HSC2) yang ditayangkan pada 17 Mac yang lalu.
Tarikh peluncuran rasmi lagu ini telah diputuskan secara bersama pada beberapa bulan yang lalu oleh Fazura Studios dan Hits Record kerana keistimewaan tarikh 10 Oktober 2024.
Ini juga selaras dengan pendekatan bersama yang di ambil oleh kedua-dua syarikat semasa peluncuran lagu berjudul Tenang Diri nyanyian Ippo pada tarikh istimewa 9 September 2024 yang lalu.
“Perancangan pelancaran kedua-dua lagu ini telah dibuat pada beberapa bulan yang lepas atas keperluan kerjasama dan persediaan awal termasuk untuk peluncuran di platform digital terkemuka.
“Sehubungan dengan itu, peluncuran lagu ini tiada sebarang kaitan dengan perkembangan terkini urusan peribadi Fazura.
“Dan kami tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kami juga ingin menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan oleh pengurus Fazura iaitu Iman Tang berhubung pemilihan tarikh pelancaran lagu ini adalah pendapat peribadinya semata-mata serta ianya tidak mewakili syarikat Fazura Studios dan Hits Record.
“Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus kepada Fazura,” kata kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media.
Para peminat dan pendengar boleh mula menikmati lagu Bertahan Demi Cinta yang telah mendapat reaksi positif semasa tayangan HSC2 sebelum ini, di platform digital termasuk Spotify dan YouTube Hits Record bermula hari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

