SIAPA kata platform tempatan tidak mampu bersaing dengan gergasi antarabangsa? Platform penstriman popular, UTV baharu sahaja membuktikan bahawa mereka kini berada dalam liga tersendiri apabila secara rasmi melebarkan sayap ke skrin televisyen digital menerusi semua peranti Android TV.
Langkah berani itu bukan sekadar satu evolusi teknologi, tetapi merupakan satu hadiah buat peminat setia yang selama ini mendambakan pengalaman menonton yang lebih puas dan imersif di ruang tamu rumah sendiri.
Pengumuman yang cukup bermakna ini dikongsikan sendiri oleh teraju utama yang juga Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan atau lebih mesra disapa sebagai Datuk Nana.
Berucap dalam suasana penuh gemilang di Majlis Seri Syawal Usanita 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini, Datuk Nana menegaskan bahawa transformasi ini adalah jawapan kepada permintaan tinggi pengguna.
Menurutnya, UTV kini setaraf dengan aplikasi penstriman global yang lain dari segi aksesibiliti.

“Kini, UTV bukan lagi sekadar aplikasi di telefon pintar, tetapi sudah boleh dinikmati di skrin besar TV seperti platform penstriman antarabangsa yang lain.
“Pengguna hanya perlu akses melalui Android TV dan mereka boleh merasai sendiri suasana seperti mempunyai pawagam peribadi di rumah sendiri,” katanya.
Tambahnya, pengalaman menonton di skrin televisyen memberikan satu dimensi berbeza, terutama bagi mereka yang mementingkan kualiti masa bersama keluarga tersayang.
Kejayaan UTV bukan sekadar cakap kosong. Buktinya, telefilem hits Postkad Cinta Dari Auckland yang menggandingkan pelakon popular Fattah Amin dan Amira Othman telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih lebih 20.1 juta tontonan.
Secara keseluruhan, platform ini telah mengumpul lebih 30 juta tontonan, satu angka yang cukup membanggakan bagi sebuah platform baharu!
Menyentuh soal kandungan, UTV tetap setia dengan identiti mereka iaitu genre romantik komedi yang ringan. Datuk Nana faham benar bahawa penonton zaman sekarang mahukan hiburan yang mampu memberi ketenangan jiwa selepas seharian bergelut dengan tekanan kerja.
“Kita sedar ramai yang pulang ke rumah dalam keadaan letih selepas bekerja. Sebab itu, kami fokuskan kepada kandungan yang memberi rasa ‘feel good’ dan tenang.
“Apabila menonton cerita yang santai dan menghiburkan, secara tidak langsung ia dapat memberikan kegembiraan kepada penonton,” katanya lagi.

Bukan itu sahaja, UTV kini sedang rancak memperkukuhkan jenama menerusi siri UTV Nusantara yang menyaksikan kolaborasi mantap antara pelakon Malaysia dan Indonesia.
Strategi ini dilihat sebagai langkah bijak untuk menawan hati penonton di peringkat serantau dengan lebih 30 telefilem baharu yang sudah sedia untuk ditonton.
Berbeza dengan platform lain yang mewajibkan langganan bulanan yang kadangkala membebankan, UTV kekal dengan model perniagaan yang sangat mesra poket.
Pengguna hanya perlu membayar untuk apa yang mereka mahu tonton sahaja. Tiada komitmen, tiada tekanan!
Namun, apa yang paling mengujakan ialah perancangan jangka panjang platform ini. Datuk Nana membocorkan rahsia bahawa UTV kini dalam fasa persediaan untuk terjun ke kancah layar perak menjelang tahun 2027.
Projek mega ini dijangka akan menghimpunkan barisan pelakon Gred A dan personaliti yang mempunyai pengaruh besar dalam industri.
Nampaknya, perjalanan UTV masih panjang dan penuh dengan kejutan. Bagi anda yang belum memuat turun, aplikasi UTV kini boleh didapati di App Store, Play Store, dan sudah tentu di Android TV anda. Jom sokong produk tempatan yang kini setanding kualiti antarabangsa!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

