PELAKON Uqasha Senrose menitipkan pesanan kepada golongan suami agar menghargai pengorbanan isteri yang bertarung nyawa melahirkan zuriat.
Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen,32, berkata, penat lelah isteri menguruskan anak tanpa pertolongan pembantu rumah cukup besar berbanding wang ringgit.
“Kepada semua suami-suami, hargailah isteri anda. Besar pengorbanan isteri yang membesarkan anak tanpa pertolongan sesiapa. Yang tidak cukup tidur, yang basuh baju anak, lipat baju anak susun baju anak. Basuh botol susu, buat susu.
“Tidur sampai hendak patah pinggang, nak makan pun hanya untuk alas perut. Nak masuk tandas pun kena pegang anak, kalau letak anak menangis. Hendak mandi pun tak sempat, takut anak menangis.
“Bagi yang ada pembantu, Alhamdulillah, bagi yang mengasuh sendiri ingatlah bahawa sangat besar pahalanya,” tulisnya.
Uqasha yang juga isteri kepada aktor Kamal Adli itu berkongsi luahan hati menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.

Pada entri sama, Uqasha akui sebak apabila mengenangkan dirinya sudah enam bulan membesarkan anak sulungnya iaitu Hawra Uqaira.
Malah, dia turut berdoa agar anaknya membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.
“Tiba-tiba rasa sebak sangat. Tak sangka Qasha (nama panggilan Uqasha) sudah melalui tempoh mengandung sembilan bulan.
“Rasa apa itu sakit melahirkan. berpantang. membesarkan anak sampai sudah hendak masuk enam bulan.
“Belajar macam-macam untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik untuk anak. Ya Allah lindungi anakku. Jagalah di setiap langkah kakinya, di setiap detak jantungnya dan di setap hembusan nafasnya.
“Ya Allah panjangkanlah umur anakku, terangilah hatinya, teguhlah imannya, cerdaskan akalnya, baikkan amal perbuatannya, lapangkan rezekinya, dekatkan dia dengan kebaikan dan jauhkanlah dari segala keburukan,” katanya.
Perkongsian isteri kepada pelakon Kamal Adli itu kemudian mendapat perhatian beberapa rakan artis dan peminat.
Rata-rata mereka mendoakan semoga Uqasha kuat semangat dan kekal positif dengan cabaran yang mendatang.
Uqasha dan Kamal diijabkabulkan pada 5 November 2021 selepas dua tahun bercinta.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada April lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

