DENGAN sekali lafaz, balu kepada penyanyi Suhaimi Saad iaitu Ina Naim kini sah bergelar isteri kepada Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor pada pukul 9.50 pagi hari ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Kota Tinggi, Johor iaitu Mohammad Ramadhan Mahroji berwakil walikan bapa Ina, Naim Samijan.
Ina yang juga penyanyi itu menerima mas kahwin RM100 dalam majlis yang berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Felcra, Sungai Ara, Kota Tinggi.
Pengantin perempuan menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas tujuh dulang.
Khairul yang merupakan duda kepada dua orang anak itu turut menyerahkan seutas gelang emas, sebentuk cincin dan kelengkapan solat selain wang hantaran berjumlah RM7,000.
Majlis persandingan pasangan itu akan berlangsung selepas akad nikah.
Untuk rekod, Ina atau Nordiana Md Naim,40 sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Suhaimi pada 12 Oktober 2007.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Pada 15 November tahun lalu, Suhaimi yang juga bekas penyanyi nasyid Inteam meninggal dunia akibat organ dalaman tidak berfungsi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

