SELEPAS melancarkan single Monofonik pada tahun lalu, kini kumpulan Monosterio tampil dengan karya terbaharu berjudul Sang Lara.
Jika sebelum ini mereka mengetengahkan muzik ‘alternative art rock’ namun kali ini Monosterio yang dianggotai oleh Izan selaku vokalis, Anep (drum) dan Alan (gitaris) keluar dari zon selesa dengan mempertaruhkan genre ‘alternative pop’.

“Tahun lalu kami buat penjenamaan semula dengan kini bergerak bebas tanpa bernaung di bawa mana-mana syarikat rakaman.
“Muzik Sang Lara ini dihasilkan mengikut kesesuaian pendengar umum. Proses pembikinan lagu semuanya dilakukan kami sendiri.
“Liriknya pula ditulis oleh Alan dan Izan. Bagi rakaman, saduran dan mastering di lakukan oleh saya sendiri.
“Sesi rakaman dijalankan di studio Asia Empire Record selaku pengedar rasmi Sang Lara. Kiranya, semua ahli Monosterio terlibat dalam penghasilan single kedua ini dari awal hingga akhir,” katanya kepada URTV.

Bercerita lanjut mengenai latar belakang Sang Lara, kata Anep, ia mengisahkan percintaan yang akhirnya terpaksa dikorbankan.
“Lagu ini diinspirasikan daripada sebuah kisah cinta yang perlu dikorbankan. Lelaki itu mencipta sebuah lagu untuk dijadikan tanda sejarah perjalanan kisah percintaan mereka.
“Sang Lara secara rasminya akan dilancarkan pada 11 November ini. Moga lagu ini mendapat tempat dihati pendengar serta dapat bersama memeriahkan industri muzik tanah air,” ujarnya.
Sang Lara hadir dengan sebuah muzik video (MV) yang menampilkan seorang model perempuan sebagai watak utama.

Tampil berbeza, Monosterio turut memilih untuk tidak menampilkan diri mereka dalam MV disebabkan mahu penonton menyelami perasaan penulisan lagu terbabit.
Dalam pada itu, Anep sempat berkongsi lanjut mengenai perancangan Monosterio yang ketika ini sedang menyiapkan album penuh.
“Ketika ini album kami sudah di peringkat mixing dan mastering. Kami rancang album ini akan berada di pasaran dalam bentuk cakera padat.
“Malah, kami juga akan mengeluarkan barangan eksklusif seperti kemeja T, stiker, poster dan banyak lagi pada tahun depan,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

