PELAKON popular, Song Jae Rim,39, dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak bernyawa di kediamannya di Seongdong, Seoul, Korea Selatan, petang hari ini.
Memetik laporan Koreaboo, mayat bintang drama The Moon Embracing The Sun itu ditemui rakannya.
Malah, pihak polis turut menemui sepucuk surat yang dipercayai ditulis sendiri oleh mendiang.
Polis memaklumkan, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.
Acara penghormatan terakhir buat mendiang akan berlangsung di Yeouido Holy Dare sebelum dikebumikan pada Khamis ini.
Sebelum aktif dalam bidang lakonan, Jae Rim merupakan seorang model fesyen dan lakonan pertamanya ialah pada 2009 menerusi filem Actresses.
Karier seni mendiang semakin bersinar dan mula membintangi banyak drama serta filem seperti Inspiring Generation, Two Weeks, Goodbye Mr. Black, Surfing House, I Wanna Your Song, Queen Woo, The Suspect dan Decoy.
Dia juga terkenal dengan penampilannya dalam We Got Married bersama pelakon Kim So-eun pada 2014.
Naskhah terakhirnya yang menemui penonton adalah drama My Military Valentine yang disiarkan menerusi platform Over-The-Top (OTT) pada Jun lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

