Bersatu: Pemilihan selesai tapi politiking dalaman masih panas?

Dari Penulis

 BARU-baru ini penganalisis politik membangkitkan persoalan sejauh manakah kemampuan Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

 Ia susulan  analisis yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi PN di semenanjung jika undi PH-BN digabungkan.

 Pada PRU-15 Pas memenangi 43 kerusi Parlimen manakala Bersatu menguasai 31 kerusi. Walaupun jumlah kerusi itu berkurangan kepada 25 kerusi apabila enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun ia tidak mengubah fakta bahawa kerusi itu dimenangi Bersatu pada pilihan raya tersebut.

 Dalam memperkatakan soal kemampuan, penulis lebih cenderung untuk memperkatakan mengenai Bersatu berbanding dengan Pas. Ia kerana Pas dilihat kukuh di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu serta sedang memperkuatkan kedudukannya di Pahang.  Tetapi bagaimana dengan Bersatu? 

Setakat ini berdasarkan keputusan PRU-15 dan PRN enam negeri, hanya Selangor dan Melaka  dilihat memberi harapan kepada Bersatu untuk bertapak. Soalnya adakah selepas pemilihan parti itu baru-baru ini, ia mewujudkan satu gabungan pasukan yang berkobar-kobar mahu memperkukuhkan kekuatan parti bagi menghadapi PRN Melaka dan Sabah serta seterusnya PRU-16. Atau dalam Bersatu masih ada yang bermuram durja atau ‘merajuk Cik Kiah’ melihat keputusan yang tidak menyebelahi puaknya?

Lucunya, ada cakap-cakap dan kebimbangan tidak bertempat bahawa pemilihan Bersatu baru-baru ini akan menggugat kedudukan politik pemimpin tertentu. Penulis tidak perlu menyatakan siapa terlibat dan siapa yang dimaksudkan, tak pentingpun kerana ia pemikiran politik cetek dan takut bayang-bayang sendiri ketika Bersatu memerlukan gabungan seluruh tenaga dalam parti untuk menang PRK, PRN mahupun PRU. 

Cukup-cukuplah dengan pelbagai drama ketika kempen pemilihan dan mesyuarat bahagian, kalau mahu diteruskan pula dengan percakaran politik dalaman selepas pemilihan berakhir…apa lagi yang Bersatu tinggal?  Perwakilan atau lebih tepat ahli-ahli Bersatu sudah membuat keputusan dan pastilah ia demi kepentingan parti tanpa mengira orang itu orang Presiden, orang ini orang Timbalan Presiden atau orang sana orang Setiausaha Agung.

 Perlu diingat, Bersatu bukanlah seperti PKR, DAP, UMNO waima Amanah sekalipun yang ada kuasa dalam kerajaan. Sebaliknya Bersatu hanya salah satu daripada parti yang berada di blok pembangkang bersama Pas di Parlimen. Bersatu hanya menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat,  Ketua Pembangkang di DUN Selangor dan  Melaka. Di Selangor, Bersatu memiliki 12 kerusi DUN manakala Pas 10 kerusi, di Melaka,  Bersatu bagaikan ‘bernafas dalam kubur’ dengan  hanya ada dua kerusi. 

 Bersatu bukannya seperti Pas yang memerintah empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta sedang meningkatkan kekuatan di Pahang. Maaf cakap Bersatu sama taraf dengan Amanah kerana tiada negeri yang pemimpinnya  menjadi Menteri Besar Sepatutnya, inilah fakta-fakta yang harus diteliti, dikaji dan dinilai oleh pemimpin dan ahli Bersatu bukannya tidak habis-habis mahu berpolitik sesama sendiri. Buktikan kekuatan politik dengan pihak lawan bukannya dengan sesama rakan dalam parti.

 Senario politik negara selepas PRU-15 telah memberi isyarat kepada Perikatan Nasional bahawa  cabaran mereka dalam pilihan raya selepas ini, tidak kiralah sama ada PRU,PRN atau PRK amat getir. Realiti politik hari ini membuktikan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan dibantu parti dari Sabah dan Sarawak berada dalam keadaan kukuh di persada politik tanah air, teguh di puncak kekuasaan.

 Atas sebab itulah dalam wawancara bersama Richard Quest daripada CNN baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa berlaku peralihan dalam sokongan orang ramai, terutamanya daripada orang Melayu Islam luar bandar kepada parti kerajaan sejak kebelakangan ini dan pilihan raya kecil baru-baru ini.

“Saya rasa stabil buat masa ini dan untuk masa akan datang,” kata Anwar sambil menambah bahawa peralihan sokongan mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam pendekatan pentadbirannya.

 Apabila menyentuh soal sokongan orang Melayu, penulis tidak nampak ia akan memberi masalah kepada Pas terutamanya di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana mereka mempunyai penyokong tegar selain dibantu oleh jentera pilihan rayanya. Ia berbeza dengan Bersatu, parti itu masih dilihat lemah di peringkat akar umbi dan mengharapkan sokongan penyokong Pas dan sebahagian undi orang Melayu yang menolak UMNO.Kalau Bersatu masih mengejar impian mahu menggantikan UMNO, maka mereka perlu memperkukuhkan dalaman parti itu terlebih dahulu.

Tidak boleh ada puak-puak, sebaliknya perlu bersatu hati, ikhlas berjuang dan berkorban demi parti.  Selagi itu tidak dilakukan, selagi ada perasaan berpuak-puak dan masih ada yang terlalu berkira mahu berkorban untuk parti termasuklah dari segi wang ringgit, percayalah Bersatu akan menghadapi laluan paling sukar dalam mana-mana pilihan raya, tambahan pula dengan keadaan akaun dibekukan oleh pihak berkuasa.

Untuk mencapai kejayaan itu juga, tidak boleh ada perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain hinggakan apabila ada pemimpin bergerak agresif sedikit untuk parti ia dilihat mahu mengancam kedudukan pemimpin lain. Anehya, apabila pembangkang dilihat lemah, maka jari di tuding kepada pemimpin tertentu. 

Penulis berpendapat, semua pemimpin Bersatu khususnya yang menang dalam pemilihan baru-baru ini bertanggungjawab untuk sama-sama memastikan parti mencapai kejayaan dalam pilihan raya. Ujian pertama kepada mereka ialah PRN Sabah dan PRN Melaka sebelum turun bertempur dalam pertarungan hidup mati pada PRU-16. Jika di kedua-dua PRN tersebut Bersatu mencatatkan prestasi buruk maka tidak payah mana-mana-mana pihak dalam parti berkenaan dok menyibuk siapa bakal PM daripada PN.

Berbanding di Sabah, peluang Bersatu di Melaka dilihat lebih cerah . Jika mereka berjaya mengekalkan dua kerusi DUN sedia ada di Bemban dan Tangga Batu, tidak mustahil Bersatu boleh merampas Melaka jika menang 15 kerusi lagi yang dianggap 50/50. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

 Kesemua 15 kerusi itu dimenangi oleh BN mahupun PH dengan majoriti di bawah 1,500 undi. Kerusi tersebut ialah Ayer Limau (1,1085 undi),  Tanjong Bidara (364 undi), Duyong (200 undi), Rembia (860 undi), Sungai Rambai (1,137 undi), Klebang (876 undi), Bukit Katil (1,087 undi), Pengkalan Balak (131 undi) dan Durian Tunggal (559 undi).  Tetapi soalnya bilakah kali terakhir pemimpin-pemimpin Bersatu mengkaji keputusan PRN tersebut? Apakah sudah ada persiapan awal bagi mencapai misi menawan Melaka? 

 Kesimpulannya, semua senario ini penulis ketengahkan untuk mengingatkan barisan kepemimpinan yang terpilih tidak kira siapapun mereka bahawa nyawa politik Bersatu di tangan mereka.  Jangan biarkan di PRN Sabah ‘batu nesan’ ditempah, PRN Melaka ‘batu nesan diukir’ dan PRU-16 ‘batu nesan dipacakkan’ di pusara politik Bersatu. Oleh itu hentikanlah politiking dalam parti tersebut yang khabarnya ‘agak panas’ selepas pemilihan selesai. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Video AI didakwa fitnah, Fadhlina buat laporan polis

KETUA Wanita PKR, Fadhlina Sidek membuat laporan polis susulan penyebaran video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa berniat...

More Articles Like This