GITARIS utama kumpulan Spider, Napie meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada pukul 3.54 pagi, hari ini.
Khabar sedih itu dikongsikan oleh isteri Allahyarham iaitu Norasidah Said.
“Sekitar pukul 12 tengah malam tadi, suami saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Dan pada pukul 3.54 pagi dia menghembuskan nafas terakhirnya,” kata Norasidah memetik laporan Astro Awani.
Allahyarham Napie atau Hanafi Hamdan yang juga jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik seniman Datuk M Nasir meninggal dunia pada usia 51 tahun akibat angin ahmar.
Menurut Norasidah, jenazah suaminya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes, Rawang selepas solat Jumaat.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Napie juga akan dibawa ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang bagi pengurusan kafan dan solat sekitar pukul 9 pagi.
Selain Norasidah, Allahyarham meninggalkan tiga orang cahaya mata.

